Melahirkan bayi seberat 1.83kg pada minggu ke-36 kehamilan ialah pengalaman yang dilalui ibu ini. Tetap kuat semangat dan kini permata hatinya membesar dengan sihat dan ceria.
Puan Syadiyah Sajuddin berkongsi dengan Pa&Ma tentang bagaimana dia menambah berat badan anaknya yang lahir pramatang selepas kelahiran. Tip ini boleh juga digunakan kepada ibu bapa lain yang mempunyai anak lahir cukup bulan.
“Armel Mikayla lahir pada 36 minggu 3 hari iaitu pada 26 Disember 2016. Berat badannya ketika dilahirkan ialah 1.83kg. Punca saya bersalin ialah air ketuban bocor (leaking) secara tiba-tiba. Saya bersalin secara normal selepas 24 jam pecah air ketuban,” kata beliau.
SENTIASA BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH
Melalui proses kelahiran yang awal daripada tarikh jangkaan tidak membuatkan ibu ini down. Katanya reda dan bersangka baik dengan ujian yang Allah berikan. Anak pramatang sangat kuat semangat dan dia akan membesar seperti kanak-kanak lain. Cuma kata ibu ini, anak pramatang memerlukan sedikit pemerhatian dan jagaan rapi sehingga usia 2 tahun.
MAHU ANAK MEMBESAR DENGAN BAIK
Walau pun lahir pramatang, ibu ini mahu anaknya melalui kehidupan seperti anak-anak lain dan membesar dengan sihat. “Saya mahu anak saya sihat seperti kanak-kanak lain dan buktikan bahawa saya mampu membesarkan dia dengan baik walaupun dia tak membesar ketika didalam kandungan,” kata Syadiyah.
5 TIP MEMASTIKAN ANAK PRAMATANG CEPAT NAIK BERAT BADAN
Syadiyah turut berkongsi tips bagaimana untuk menaikkan berat badan Mikayla. Ia tentu boleh ditiru oleh ibu-ibu lain juga.
#1 Pastikan anak menyusu dengan kerap dan mencukupi.
#2 Jaga waktu tidur anak dan bedung. Kata Syadiyah, Mikayla tidur berbedung sehingga 9 bulan. Ia penting supaya dia boleh tidur dengan nyenyak.
#3 Jaga keselesaan dan kebersihan anak. Ia termasuk dari segi tempat tidur dan pakaian yang selesa supaya anak tidak senang jatuh sakit atau meragam.
#4 Jaga emosi anak. Jangan biarkan anak menangis terlalu lama. Stress akan membantutkan perkembangan minda dan fizikal kanak-kanak. “Seingat saya, Mikayla jarang menangis sejak dia lahir. Perut tak pernah kembung dan aktif macam biasa. Dia seorang anak yang ceria dan mudah tersenyum, ” kata ibu ini.
#5 Selain itu, Syadiyah memberikan anaknya vitamin doktor ada bekalkan . “Selepas dia lahir due to poor weight gain ketika lahir, doktor berikan vitamin. Boleh dapatkan di farmasi.”
SYUKUR KERANA MIKAYLA MEMBESAR KUAT DAN SIHAT
Kegembiraan menjadi milik ibu ini tatkala melihat cahaya mata yang dulu sekecil 1.83kg sudah pun membesar seperi kanak-kanak normal.
“Alhamdulillah Armel Mikayla baru menyambut ulangtahunnya yg ke -2 pada 26/12/18 lepas. Berat terkini Armel 13kg. Susu masih kuat , makan pun berselera. Soal makan, saya takpernah menghadkan pemakanan dia.
“Tapi saya langsung tak berikan dia makanan ringan atau makanan manis seperti coklat, minum bergas atau makanan segera. Mikayla lebih suka lauk seperti ayam, sayur-sayur hijau, telur rebus, kekacang , keju, biskut , mee , pasta dan udang!,” kata Syadiyah yang memohon doa semua berharap Armel Mikayla kekal sihat dan aktif macam kanak-kanak lain.
PESANAN KEPADA IBU-IBU HAMIL
Melalui kelahiran anak pramatang tidak mudah. Justeru ibu-ibu perlu kuat. Dia turut menyarankan agar ibu tidak terlalu penat dan stres.
“Untuk ibu-ibu atau bakal ibu diluar sana , jangan pernah rasa menyesal atau terlalu bersedih jika melahirkan anak pramatang. Sesungguhnya hanya ibu-ibu yang kuat sahaja terpilih untnk merasai pengalaman manis sebegini.
“Jaga pemakanan ketika mengandung. Jangan skip ubat daripada doctor. Jangan terlalu penat / stress. Ingat! Anak ialah pemberian tuhan yang sangat-sangat bermakna. Hargai apa yg ada depan mata. Insya Allah , Dia gandakan pahala utk mu di sana nanti,” kata Syadiyah.
ANAK PRAMATANG TIDAK LEMAH & TIDAK SUSAH NAK BELAJAR.
Syadiyah juga turut berkongsi video telatah Mikayla. perkembangannnya sangat baik, lantas menangkis tanggapan sesetengah orang yang yg kata anak pramatang ni lemah dan susah untuk mempelajari sesuatu.
“Jd saya nak betulkan stigma masyarakat yang anak pramatang tetap boleh membesar dan belajar selaras dengan tumbesaran mereka. Buktinya, Mikayla boleh bercakap, menerima ,mendengar & memberi arahan dan memahami setiap apa yg kami sampaikan,” kata Syadiyah.