loading...

Pembatalan Kejohanan Renang Para Tidak Jejas Sukan Negara

PUTRAJAYA: Pembatalan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) ke atas hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 tidak menjejaskan pembangunan sukan di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kementerian berdiri teguh dengan pendirian kerajaan dan pembatalan itu tidak memberi sebarang impak dan tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan kemasukan atlet Israel ke negara ini.

Menurutnya, pembangunan sukan di negara ini diyakini akan terus berjalan lancar kerana pendirian Malaysia itu sudah disuarakan sejak sekian lama dan sebelum ini, Malaysia juga pernah menganjurkan pertandingan peringkat antarabangsa.

“Kementerian tetap mengambil pendirian tegas dalam isu ini sebagai membantah pendudukan dan penindasan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya pada sidang media sempena penganjuran Festival Belia Bando Muo (Festival Bandar Muar) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Program Festival Bando Muo, Ely Samsudin dan Pengurus Pertandingan Egames,Hazman Hassan.

Festival diadakan di Muar, Johor itu dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kelab Belia Inovatif Maharani (KBIM) akan berlangsung pada 31 Januari hingga 3 Februari bertujuan memperkasa komuniti belia di samping mengangkat industri kreatif dan inovatif dalam kalangan mereka.

Sabtu lalu, pada mesyuarat IPC di London, Presidennya, Andrew Parsons membuat kenyataan membatalkan kejohanan itu selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal memberikan jaminan diperlukan oleh perenang para Israel untuk menyertai kejohanan itu, bebas daripada diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Sebelum ini, isu larangan penyertaan atlet Israel itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan, maka ia adalah satu kesalahan.

Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak dijangka berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan dan kejohanan itu penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Syed Saddiq mendedahkan, pada September 2017, kerajaan dan penganjur terdahulu pernah mengadakan persetujuan dengan IPC untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia dengan mendapat jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak dibenarkan menyertai acara itu dengan jaminan keselamatan mereka.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpendirian perjanjian itu adalah tidak sah dan terbatal kerana ia diadakan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), berbeza dengan pendirian kerajaan ketika ini di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir bahawa tiada sebarang kemasukan atlet dari Israel,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...