Bolehkah anda melukis? Jika boleh, sejauh mana bakat anda sebagai seorang pelukis? Pastinya ramai di antara kita yang memiliki bakat melukis, sama ada secara semulajadi atau dengan hasil usaha ketekunan sendiri. Namun, dari mana sekalipun bakat anda, pastinya anda inginkan hasil karya anda dihargai oleh orang ramai.
Ada yang melukis hanya suka-suka dan ada yang menjadikannya sebagai karier. Memang tak dinafikan karier sebagai pelukis ini memberikan hasil yang lumayan, tetapi tidak kepada semua pelukis. Dan yang pastinya, anda mesti pernah terlihat lukisan-lukisan yang dijual dengan harga yang sangat mahal, namun karya itu tidaklah secantik mana, malah ada yang seolah-seolah contengan kanak-kanak. Bak kata mereka, hanya pencinta seni yang mampu menilai. Wallahualam.
Iluminasi.com kali ini ingin berkongsi dengan anda 7 lukisan yang paling mahal pernah dijual di atas muka bumi ini.
7. Les Femmes d'Alger : RM767 Juta
Diterjemahkan yang bermaksud "Women of Algiers" ini merupakan hasil karya pelukis tersohor dari Sepanyol, Pablo Picasso pada tahun 1955. Ia merupakan lukisan yang mempunyai 15 siri yang diinspirasikan oleh lukisan The Women of Algiers in their Apartment karya Eugène Delacroix pada tahun 1834. Ia telah dibeli oleh bekas Perdana Menteri Qatar, Hamad bin Jassim bin Jaber Al Thani pada tahun 2015 dengan harga RM767 juta.
6. The Pendant portraits of Marten Soolmans and Oopjen Coppit : RM769 Juta
Lukisan potret perkahwinan yang dijual sepasang dengan harga RM769 juta ini dihasilkan oleh pelukis Belanda, Rembrandt Harmenszoon van Rijn pada 1634. Ia dimiliki oleh keluarga Rothschild namun telah dibeli secara bersama oleh Louvre Museum dan Rijksmuseum pada tahun 2015. Ia merupakan lukisan termahal karya Rembrandt.
5. No. 6 (Violet, Green and Red) : RM795 Juta
Ya, penulis tahu. Anda juga terpinga-pinga bertanyakan apa jenis lukisan kah ini? Ambil 3 warna berlainan dan mula warnakan kanvas anda, dan jual. Tidak semudah itu. Lukisan hasil karya pelukis abstrak dari Rusia, Mark Rothko, dilukis pada tahun 1951 dan dilukis dan digariskan dengan tidak sekata serta diwarnakan denga warna yang agak kabur. Dijual pada harta RM795 juta oleh Cherise Moueix kepada Dmitry Rybolovlev.
4. Number 17A : RM855 Juta
Pelukis Amerika, Jackson Polloc telah menghasilkan karya abstrak ini pada tahun 1948. Pasti ramai yang ternganga dengan harga jualan ini padahal lukisan ini seperti boleh dihasilkan oleh sesiapa. Namun hanya mereka yang benar-benar mengetahui seni lukisan sahaja yang dapat melihat dengan mata halus. Ia dijual dengan harga RM855 juta pada tahun 2015 oleh David Geffen Foundation kepada Kenneth C. Griffin.
3. The Card Players
Lukisan ini jelas menunjukkan 2 orang lelaki sedang bermain permainan kad, yang dilukis oleh pelukis Perancis, Paul Cézanne. Dihasilkan pada 1894, hasil karya ini mempunyai 5 siri lukisan yang berbeza dari segi saiz, jumlah pemain kad, dan tempat di mana mereka bermain kad. Pada tahun 2011, salah satu daripada siri lukisan ini telah dijual oleh George Embiricos kepada keluarga diraja Qatar dengan harga di antara RM1.07 billion hingga RM1.28 billion.
2. Nafea faa ipoipo : RM1.28 billion
Nafea faa ipoipo atau maksudnya dalam bahasa Inggeris "When Will You Marry?" dihasilkan pada 1892 dan merupakan hasil karya pelukis Perancis iaitu Paul Gauguin. Lukisan ini menunjukkan seperti sepasang kekasih yang sedang bercinta di taman. Sebelum dijual oleh keluarga Rudolf Staechelin kepada Sheikha Al-Mayassa bint Hamad Al-Thani secara senyap-senyap, ia dipinjamkan hampir 50 tahun kepada muzium di Switzerland, iaitu Kunstmuseum. Ia dipamerkan di pameran Fondation Beyeler, Riehen sehingga 28 Jun 2015.
1. Interchange : RM1.28 billion
Hasil karya minyak atas canvas ini merupakan hasil kreatif pelukis Belanda, Willem de Kooning. Lukisan yang dijual dengan harga yang sama seperti lukisan di nombor 2 iaitu RM1.28 billion oleh David Geffen Foundation kepada Kenneth C. Griffin ini disiapkan pada tahun 1955 dan berukuran 200cm panjang dan 175cm lebar. Ia merupakan lukisan termahal yang pernah dicatatkan sehingga hari ini, yang kemudiannya dipinjamkan kepada Art Institute of Chicago.
Sumber : Wikipedia