loading...

“Jangan Menangis, Malulah!” Faham Dulu Perasaan Anak Pertama Kali Ke Sekolah, Baru Senang Pujuk

Kanak-kanak menangis pada hari pertama persekolahan disebabkan oleh ‘SEPARATION ANXIETY’. Ini berlaku apabila anak resah kerana perlu berpisah dengan individu yang paling dia percayai untuk berada dalam persekitaran yang asing.

Menurut Konsultan Parent Connect,  Noor Afidah Abu Bakar, bayangkan jika kita bertukar tempat kerja baru dan kita tidak kenal sesiapa. Resah atau tidak?

Perasaan ini adalah sesuatu yang normal dalam perkembangan kanak-kanak. Ia bukanlah sesuatu yang memalukan atau perlu dimalukan dengan mengambil video untuk ditularkan.

“TETAPI RAMAI KANAK-KANAK YANG OK, TAK MENANGIS. Yang menangis tu mesti manja. Kita mesti ajar anak jadi kental.”

Bila kita bercakap tentang perkataan PERKEMBANGAN, ia merujuk kepada satu proses yang dicapai pada kadar yang berbeza-beza mengikut pembawaan kanak-kanak.

Orang dewasa juga mengalami separation anxiety cumanya orang dewasa sudah mempunyai ‘coping strategy’ yang dibina dari pengalaman dan kematangan.

Perasaan resah untuk berpisah itu juga boleh menjadi indikasi yang baik bahawa selama ini ayah dan ibu telah membina attachment yang positif dengan anak tersebut. Bukanlah kerana anak itu manja.

Seorang murid saya dulu menangis sebab dia tidak boleh lagi bermain bola sepak dengan ayahnya kerana perlu hadir ke sekolah.

Anak Menangis Untuk Berpisah Sebab Takut

Proses berpisah untuk memasuki sekolah adalah kombinasi perasaan TERUJA dan TAKUT bagi kanak-kanak.

Jika perasaan teruja kerana berjumpa kawan yang sudah dikenali atau teruja kerana guru baik, atau teruja kerana persekitaran sekolah yang mesra, melebihi rasa takut, maka separation anxiety itu hanya sekejap.

Jika perasaan takut kerana tidak ada kawan dan sebagainya melebihi keterujaan, maka separation anxiety itu mengambil masa untuk hilang.

Seorang lagi murid saya merasa takut kerana perlu memasuki ‘gate’ lain yang dia tidak biasa.

Ada pelbagai sebab mereka takut walaupun remeh bagi kita.

Cara orang dewasa memberi respon kepada separation anxiety kanak-kanak juga menentukan sekejap atau lama perasaan itu.

“ANAK SAYA DAH BERBULAN-BULAN MENANGIS setiap pagi tak nak ke sekolah. Normalkah?”

Jikalau ia berlarutan sampai berbulan-bulan hingga mengganggu aktiviti harian anak dan menyebabkan anak sentiasa sedih dan murung, ia sudah menjadi satu DISORDER yang perlukan intervensi dan perhatian pakar. Mungkinkah anak dibuli, didera ataupun trauma?

Menurut Maria Montessori, pakar perkembangan dan pendidikan awal kanak-kanak, resah kerana berpisah adalah sebahagian dari proses ‘individuation’ yang penting bagi perkembangan sosial kanak-kanak.

Anak sedang belajar untuk mengenal persekitarannya. Dia kemudiannya akan membina kepercayaan dan keserasian dengan individu baru di sekitarnya. Akhirnya dia akan mula membina persahabatan. 
Ini adalah proses yang mengambil masa dan tidak boleh dipaksa.

Fahamilah kanak-kanak. Mereka juga manusia yang perlu dihormati.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...