Ketika Perang Dunia Kedua bermula, Itali yang di bawah pimpinan Benito Mussolini, bekerjasama dengan kuasa Axis bersama-sama Jerman dan Jepun. Namun di sekitar pertengahan perang, Itali berpaling tadah dan memutuskan untuk menyertai kuasa Sekutu. Ini pastinya membuatkan Jerman di bawah pimpinan Adolf Hitler berang dengan tindakan itu.
Untuk tempoh 9 bulan dalam tahun 1943, Nazi Jerman menduduki Rom dan beribu-ribu orang tidak diberikan bekalan makanan, termasuk ramai yang diseksa dan dibunuh. Dan hingga satu ketika, Nazi telah mengebom Vatican City yang sepatutnya menjadi wilayah neutral.
Jadi, tak hairanlah apabila Nazi memerintahkan agar semua orang Yahudi di Itali supaya diserahkan dan dihantar ke kem tahanan. Ramai orang Itali yang menentang penindasan dilakukan Nazi, namun terdapat satu operasi rahsia yang yang paling tidak diketahui sehinggalah baru-baru ini.
Misi rahsia ini bukan dikendalikan oleh tentera-tentera atau agen perisikan kerajaan, tetapi rancangan yang dilakukan oleh mereka yang terdiri daripada kakitangan Hospital Fatebenefratelli di Rom.
Hospital Fatebenefratelli menjadi penyelamat
Dibina pada tahun 1585, Hospital Fatebenefratelli lebih kelihatan seperti istana atau kubu ketenteraan berbanding sebuah hospital. Ia terletak di pulau kecil di sebuah pulau kecil di Sungai Tiber, membuatkan ianya tempat sempurna bagi mengasingkan pesakit yang menghidap penyakit berjangkit daripada populasi umum.
Lokasi ini juga sebenarnya adalah terletaknya sebuah hospital pada tahun 1000 CE. Sebelum itu, ia merupakan tempat letaknya kuil Tuhan perubatan Yunani iaitu Asclepius. Pada tahun 1940, ia merupakan hospital Katolik yang dikendalikan oleh kumpulan yang dikenali sebagai "Brothers of Mercy".
Kakitangan Hospital Fatebenefratelli purba berbangga dengan warisan mereka yang mana mereka bersumpah untuk melindungi kehidupan manusia, dan tak akan berhenti membantu mereka yang menjadi pesakit hospital ini.
Sindrom K direka
Dan ketika tentera Nazi mengawasi kawasan hospital setiap hari, kakitangan hospital secara rahsia merancang helah. Mereka dengan senyap memalsukan rekod pesakit-pesakit Yahudi di hospital ini dengan menambah diagnos "Sindrom K" ke dalam carta mereka, dan memindahkan mereka ke bahagian sayap hospital.
Anda tak akan pernah menjumpai Sindrom K dalam mana-mana buku perubatan kerana ia sebenarnya tidak wujud. Malah, kod nama "K" adalah daripada Albert Kesselring, iaitu komander Nazi yang bertanggungjawab ke atas pendudukan Rom dan sangat tidak disukai oleh orang Itali.
Dr. Giovanni Borromea, seorang doktor pakar bedah yang bekerja di hospital ini sejak 1934 telah bekerjasama dengan ketua paderi hospital, Maurizio Bialek untuk menjadikan hospital ini sebagai yang fasiliti hebat di Itali.
Pada tahun 1938, Itali bekerjasama dengan Kuasa Axis dan mula menghasilkan undang-undang anti-semitik yang mencegah Yahudi daripada mendapat kerja. Dr. Giovanni dan Paderi Maurizio kedua-duanya anti-fasis yang menentang kuasa ini.
Mereka mula untuk mengambil doktor dari kalangan orang Yahudi untuk bekerja dan membantu memalsukan kertas kerja supaya doktor-doktor Yahudi kelihatan seperti Katolik dan mengelakkan penganiayaan.
Salah seorang daripada doktor Yahudi ketika itu adalah Vittorio Sacerdoti yang berusia 28 tahun. Pada tahun 1943 ketika Nazi mengambil alih Itali dan mula mencari orang Yahudi untuk dihantar ke kem tahanan, Vittorio secara bersendirian berjaya menyelamatkan 45 orang dan memasukkan ke dalam hospital termasuk beberapa orang kanak-kanak.
Tentera Jerman bimbang dijangkiti wabak
Ketika itu, orang ramai sangat takutkan penyakit tuberculosis. Penyakit yang sangat mudah berjangkit ini menyebabkan penghidap demam dan batuk darah serta mati perlahan-lahan. Pada tahun 1940, penggunaan antibiotik mula digunakan untuk merawat penyakit ini yang telah membunuh banyak nyawa di Itali.
Oleh itu, tentera-tentera asing sangat tidak selesa dan risau apabila mengawal hospital ini. Lagipun, hospital ini mempunyai sejarah lama dan terkenal dalam mengasingkan orang untuk menghentikan penyebaran penyakit.
Apa yang dilakukan oleh Dr. Vittorio adalah menyuruh "pesakit" Yahudi untuk batuk dengan kuat dan berkelakuan seperti pesakit tuberculosis setiap kali tentera Jerman melalui wad mereka. Helah ini berhasil kerana tentera-tentera Jerman menjauhi wad ini kerana takut terjangkit Sindrom K yang misteri.
Hospital menjadi pusat perlindungan pelarian
Menurut seorang ahli psikologi, Adriano Ossicini memberitahu bahawa hospital ini juga menjadi pusat pelindungan pelarian politik anti-fasis. Menurutnya, Nazi agak bodoh dan kelihatan tidak berpengetahuan mengenai dunia luar dari Jerman.
Beliau pernah terdengar perbualan antara tentera-tentera Jerman tentang betapa seriusnya wabak Sindrom K di itali dan enggan untuk mendekati hospital yang menempatkan pesakit-pesakit ini.
Disebabkan rasa takut inilah membuatkan mereka langsung tidak mengesyaki bahawa orang-orang Yahudi dan pelarian politik dipindahkan ke hospital ini betul-betul dihadapan mata mereka.
Juga terdapat rangkaian rahsia di mana kakitangan hospital memindahkan orang Yahudi sejauh negara Poland menggunakan ambulans ke hospital mereka, semuanya dilakukan di bawah penyamaran bahawa pesakit-pesakit tersebut dijangkiti sindrom ini.
Mereka meyakinkan pihak Jerman bahawa hospital di Rom ini mempunyai teknologi tinggi dan satu-satunya peluang untuk menyelamatkan pesakit, membuatkan Nazi membenarkan mereka lepas.
Seorang wanita berusia 83 tahun, Luciana Tedesco menceritakan dia bersembunyi sebagai pelarian Yahudi di hospital ini ketika masih kanak-kanak. Luciana memberitahu wanita dan kanak-kanak tidur di sebuah wad bersama-sama manakala lelaki tinggal di wad berasingan. Seluruh ahli keluarganya terselamat, termasuk 10 orang kanak-kanak.
Hospital juga dijadikan pangkalan rahsia
Sementara itu kakitangan telah melakukan perkara yang lebih jauh di belakang tabir sebagai sebahagian daripada rancangan mereka. Paderi Maurizio membina bilik radio rahsia di ruangan bawah tanah, yang memintas komunikasi Nazi pada waktu siang dan memberikan kepada Dr. Giovanni yang akan menyerahkan maklumat tersebut kepada Tentera Udara Itali, Roberto Lordi.
Usaha ini membantu menamatkan penjajahan Jerman selepas hanya 9 bulan. Pendudukan Jerman berakhir pada tahun 1944 dan pelarian di hospital ini dibebaskan. Perang Dunia Kedua berakhir pada tahun 1945 dan walaupun pendudukan itu telah tamat, namu kakitangan hospital masih berhati-hati.
Mereka bersumpah untuk tidak mendedahkan rahsia mengenai Sindrom K kerana takut satu hari nanti Nazi akan bangkit berkuasa dan mungkin perlu menggunakan hospital dan wabak palsu ini sekali lagi.
Dr. Giovanni Borromeo telah menyelamatkan ratusan orang Yahudi di bawah jagaannya dan dikatakan beliau tidak pernah memalingkan pertolongannya kepada sesiapa pun, tak kira betapa bahaya keadaan ketika itu. Dr. Giovanni meninggal dunia pada usia 62 tahun di hospital tersebut dan membawa rahsia Sindrom K ke kuburnya.
Walaupun tiada rekod yang menunjukkan beraapa ramai secara kolektif yang diselamatkan oleh kakitangan hospital ini, namun doktor-doktor dan kakitangan hospital telah menyimpan rahsia ini selama lebih daripada 60 tahun.
Hari ini, mereka dianugerahkan atas usaha kemanusian mereka dengan beberapa anugerah daripada masyarakat Yahudi yang berbeza. Satu plak kini digantung di halaman hospital ini bagi memperingati keberanian kakitangan pada tahun 1943 yang tak pernah mengalah.
Rujukan:
1. QZ
2. MF
3. MSN
4. Tenz
5. Bioethics