Beberapa hari awal selepas kelahiran bayi, terdapat segelintir ibu yang mudah tertekan, muram, gelisah dan dalam kes yang teruk, ada juga mudah menangis tanpa sebab. Hal ini dikatakan berlaku kesan penyesuaian diri dengan kehidupan baru. Si ibu kini perlu menjaga diri sendiri dan bayi yang memerlukan perhatian sepenuhnya. Sedangkan diri sendiri belum pulih dan segar sepenuhnya selepas melalui proses bersalin.
Bahaya jika ibu mula menunjukkan tanda meroyan kerana jika tidak dikawal, ia boleh mengancam nyawa orang sekitarnya termasuklah bayi dan dirinya sendiri. Namun begitu, dengan ada sokongan dan bantuan daripada orang terdekat, si ibu yang mengalami situasi sebegini akan beransur baik.
Antara langkah bagi mengurangkan masalah ini yang mungkin boleh dialami oleh ibu yang sedang berpantang, si suami perlu lebih ringan tangan membantu apa yang perlu.
Bagi ruang isteri berehat
Di awal tempoh berpantang, isteri memerlukan rehat yang mencukupi untuk segera pilih dan kembali bertenaga seperti sedia kala. Untuk itu, bantulah isteri memandikan bayi, mengemas rumah, memasak untuk isteri atau apa-apa urusan rumah tanggan lain yang mampu diselesaikan.
Urut isteri
Walaupun diri bukan seorang tukang urut bertauliah, anda tetap boleh menolong mengurut isteri. Cukup sekadar memicit bahagian tubuh yang isteri rasa lenguh atau sengal.
Dengan urutan atau picitan lembut yang anda berikan itu, ia mampu merangsang hormon endorfin dirembeskan. Apabila hormon kegembiraan ini meningkat di dalam tubuh, sudah pasti isteri anda berasa lebih tenang.
Sediakan makanan berkhasiat
Makanan yang dihidangkan kepada ibu berpantang sangat penting kerana ia berupaya menjadi sumber untuk dirinya pulih, kembali bertenaga dan merangsang penghasilan susu ibu.
Jika aspek pemakanan tidak dijaga dengan betul, tentu sahaja ia boleh menimbulkan masalah kesihatan kepada dirinya dan juga bayi yang menerima susu ibu sebagai sumber makanan utama.
Galakkan isteri berfikiran positif
Ada waktunya, isteri terlalu banyak berfikir yang bukan-bukan sehingga menekan diri sendiri. Oleh itu, anda sebagai suami perlu sentiasa memberi semangat dan berkata-kata positif supaya dia dapat melupakan hal-hal yang remeh-temeh.