MISTERI kehilangan sebuah kereta sport, Aston Martin lebih 20 tahun yang dilaporkan dicuri telah terjawab apabila kenderaan antik tersebut berjaya ditemui.
Kereta yang pernah dipandu aktor Sean Connery dalam siri filem James Bond, Goldfinger berjaya ditemukan di Asia Barat minggu lalu setelah diburu pihak berkuasa sejak beberapa dekad, berdasarkan maklumat yang diberikan kepada pasukan penyiasat.
Lapor akhbar tempatan, Ketua Eksekutif Art Recovery International, Christopher Marinello berkata, kenderaan yang dilengkapi dengan mesingan dan pisau penebuk tayar untuk ejen 007 itu kini mungkin bernilai 10 juta pound (RM53 juta).
“Saya telah diberikan maklumat khusus dan kami sedang berusaha ke arah itu.
“Kami mahu berjumpa dengan komuniti pengumpul kereta dan mekanik untuk memaklumkan bahawa kami amat serius untuk mendapatkannya,” kata Marinello.
Bagaimanapun, penyiasat daripada Art Recovery International, syarikat insurans yang menemukan kereta legenda DB5 buatan 1964 itu enggan mendedahkan negara kereta itu ditemukan.
Oleh kerana terdapat banyak model Aston Martin, adalah penting bagi mereka untuk mendapatkan nombor casis kereta tersebut, dp/216/1.
“Inilah yang kami cari kerana ia sangat spesifik untuk kenderaan itu,” kata Marinello.
Terdahulu, pemilik membeli kereta itu pada 1986 pada harga 250,000 pound atau bersamaan nilai semasa 188,000 pound (RM997,136) dan menyimpannya di hangar lapangan terbang miliknya di Boca Raton, Florida.
Misteri kehilangan kereta sports Aston Martin itu tercetus apabila dicuri pada 1997 iaitu 33 tahun selepas filem Goldfinger ditayangkan. – MYNEWSHUB.CC
Loading...