SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya memperlekehkan UMNO sehingga mahu membuat tapisan ketat terhadap wakil rakyat dan pemimpinnya yang mahu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, syarat dikenakan Dr Mahathir terhadap bakal ahli yang hendak menyertai PPBM perlu memahami budaya politik parti berkenaan juga mesti diperincikan.
“Saya tidak faham apa yang Dr Mahathir maksudkan sebagai memahami budaya politik dalam PPBM. Saya mahu tanya lebih lanjut kepada Dr Mahathir dari parti mana asalnya beliau sehingga menjadi ahli paling lama? Dari mana datangnya kebanyakan ahli PPBM?
“Apa kata Dr Mahathir tunjukkan kepada kami perlembagaan PPBM untuk membuktikan parti itu sememangnya mempunyai budaya yang berbeza dan unik.
“Pada saya, sama saja budayanya, cuma berbeza nama parti kerana sekarang beliau menerajui PPBM,” katanya kepada NSTP, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang disiarkan hari ini, iaitu hanya wakil rakyat dan pemimpin UMNO saja yang akan melalui tapisan ketat jika berhajat untuk menyertai PPBM.
Pengerusi PPBM itu dilaporkan berkata, berkata, ahli biasa UMNO hanya disyaratkan menyokong PH sebelum dibenarkan menyertai PPBM.
Mat Nadzari berkata, tindakan untuk membuat tapisan ketat terhadap pemimpin UMNO dan wakil rakyatnya satu perbuatan Dr Mahathir untuk meletakkan PPBM pada kedudukan lebih tinggi dan seolah-olah ramai yang tidak sabar untuk meninggalkan UMNO.
Beliau juga mempersoalkan berapa ramai Ketua Bahagian UMNO dan wakil rakyatnya yang sudah meninggalkan parti serta menganggap mereka yang mahu berbuat demikian sebagai pengecut, pengkhianat dan sudah melupakan asal usul mereka.
Katanya, beliau juga yakin tiada pemimpin UMNO akan meninggal parti itu pada masa ini.
“Ia boleh jadi dengan ahli biasa yang mungkin mempunyai kepentingan sendiri untuk berbuat demikian. Saya menyeru kepada semua yang mempunyai niat untuk meninggalkan parti untuk berfikir masak-masak.
“Lihat balik apa yang UMNO sudah lakukan untuk mereka dan terus setia kepada parti tidak kira apa keadaannya,” katanya.
Turut bersetuju dengan Mat Nadzari adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Nor Hisham Ses yang menolak tindakan mana-mana ahli yang mahu keluar parti.
Nor Hisham berkata, dalam keadaan sekarang, ahli UMNO tidak sepatutnya berkira-kira untuk menyertai PPBM.
“Ini adalah masanya untuk bersama-sama dan memperkukuhkan parti. Semua tumpuan sepatutnya ditumpukan dalam usaha membawa UMNO ke tahap tertinggi dan menjadi lebih kuat.
“Justeru, kami memerlukan semua ahli bersatu padu untuk ini kerana perlu ada perubahan,” katanya.
Nor Hisham berkata, landasan perubahan dalam UMNO kini sedang berlaku dan sesiapa pun yang tidak bersetuju dengan kepemimpinan sedia ada berpeluang untuk berbuat demikian.
“Ada yang mahukan perubahan dalam kepemimpinan dan mahukan pemimpin yang membunyai visi dan integriti supaya sokongan rakyat kembali semula kemada kami.
“Jadi, mereka diberikan peluang untuk berbuat demikian pada pemilihan pusat, Bahagian dan sayap-sayap yang lebih terbuka dan telus sekarang.
“Oleh itu, perubahan benar-benar berlaku dalam parti. Saya tidak fikir mana-mana ahli UMNO patut mengambil serius apa yang diperkatakan Dr Mahathir bahawa ramai yang mahu menyertai PPBMatau terpengaruh dengannya,” katanya.