PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan memulakan langkah kanan setelah berjaya mengekalkan pengaruhnya dalam pemerintah Turki melalui pilihan raya presiden dan parlimen kelmarin.
Cabang-cabang kerajaan Turki kini akan mula melaksanakan siri pindaan perlembagaan yang diluluskan dalam satu pungutan suara tahun lepas.
Erdogan berkuasa melantik naib presiden, menteri, pegawai peringkat tinggi dan hakim kanan, membubarkan parlimen, mengeluarkan dekri eksekutif dan mengisytiharkan perintah darurat melaui sistem baru yang dilaksanakan.
Beliau bertegas perlunya jawatan presiden eksekutif yang kuat untuk mewujudkan negara yang stabil dan mampu mengambil langkah-langkah untuk masa depan dengan lebih yakin, lapor akhbar tempatan.
Namun, pembangkang, sekutu-sekutu Barat dan pengkritik berpendapat sistem itu memberi kuasa yang besar kepada Presiden Eksekutif tetapi mengabaikan keperluan ‘periksa dan imbang’.
Kolumnis dan penganalisis politik Turki, Avni Ozgurel berkata, Ankara pasti berdepan masalah semasa peringkat awal pelaksanaannya walaupun Turki mampu ditadbir dengan cara lebih stabil dan cekap dalam jangka masa panjang melalui sistem baru yang dilaksanakan.
“Erdogan dan pasukannya akan memperoleh pengalaman dan akan cuba membetulkan kelemahan sistem semasa melaksanakannya,” katanya.
Avni Ozgurel turut menjangkakan akan ada keputusan baharu dan undang-undang untuk mencapai usaha tersebut.
Pentadbiran Erdogan dicabar dengan krisis penyusutan nilai mata wang lira, defisit akaun semasa dan peningkatan inflasi.
Tidak cukup dengan itu, dunia akan lebih tertumpu kepada ketegangan hubungan antara Ankara dengan Barat di peringkat antarabangsa.
Jika Erdogan melaksanakan janjinya pada pilihan raya lalu untuk menarik balik perintah darurat sejurus selepas beliau diberi mandat kemungkinan masalah dalaman negara dan ketegangan dengan Barat mampu diatasi.
Sementara itu, Profesor Universiti Sehir Istanbul, Mesut Yegen menegaskan amalan baharu di bawah perintah darurat mewujudkan ketegangan di negara ini dan meletakkan kerajaan di tempat yang sukar di peringkat antarabangsa ekoran kritikan terhadap hak asasi manusia dan standard demokrasi di Turki.
Bagaimanapun, Yegen percaya presiden itu mampu mengatasi semua halangan dalam usahanya untuk merealisasikan matlamat menjadi presiden eksekutif pertama Turki.
Dalam perkembangan lain, Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mengucapkan tahniah atas kejayaan Erdogan menekankan tentang pentingnya dialog yang lebih tenang di antara Turki dan Kesatuan Eropah (EU).
Manakala Perdana Menteri Britain, Theresa May memberitahu, kerjasama berhubung isu keselamatan, perdagangan dan usaha memulihkan keadaan di Syria diharap dapat diteruskan oleh kedua-dua negara itu. – MYNEWSHUB.CC
Loading...