KUCHING: Tiga daripada empat kes positif COVID-19 di Sarawak pada 30 September lalu dikesan dijangkiti individu yang balik dari Sabah.
Salah seorang mangsa terbaharu itu adalah anggota pasukan keselamatan yang baru balik ke negeri ini selepas bertugas di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata anggota pasukan keselamatan itu pergi ke Sabah pada 25 September dan balik ke Sarawak menggunakan penerbangan khas melalui Lapangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuching pada 28 September.
Beliau berkata, semua anggota yang baru balik dari Sabah diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari dan diambil saringan ujian rT-PCR pada hari kedua dan hari ke-10.
“Setakat hari ini, seramai 501 anggota keselamatan yang balik dari Sabah selepas bertugas di sana sudah menjalani saringan ujian rT-PCR COVID-19 bagi saringan pertama,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, di sini, pada 30 September lalu.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, dua lagi kes membabitkan pelajar dari Sabah yang memasuki negeri ini dengan menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu pada 27 dan 28 September.
“Salah seorang berasal dari Papar, Sabah dan menuntut di sebuah institut kemahiran di Miri, manakala seorang lagi adalah pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) yang baru balik dari Menggatal, Sabah kerana bercuti,” katanya.
Katanya lagi, satu lagi kes membabitkan seorang wanita yang balik dari Kuala Lumpur pada 28 September lalu.
Empat tambahan kes yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid 19 di Sarawak sejak Mac lalu meningkat seramai 713 orang.