loading...

JDT juara Liga Super musim 7 kali berturut-turut

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Sabah 4-1 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Lebih manis kejayaan itu dicapai di stadium baharu skuad Harimau Selatan yang menggantikan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebagai gelanggang rasmi pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora mengukuhkan cengkaman di persada liga tanpa melakar kekalahan tatkala aksi liga berbaki satu perlawanan.

Dengan kejayaan itu, maka terpahat di dalam sejarah bola sepak Malaysia apabila JDT adalah satu-satunya pasukan yang menjuarai liga tujuh musim berturut-turut dan agak mustahil buat mana-mana pasukan yang bersaing pada kancah liga elit domestik mampu menyaingi pencapaian pasukan itu.

Kesungguhan JDT yang inginkan kemenangan bermula dengan gerakan berbahaya seawal minit kesembilan apabila bola umpanan Diogo Luis Santo menyaksikan Safawi Rasid bingkas merembat bola leret tapi penjaga gol, Rozaimie Rohim bersedia menangkap bola kemas.

Tuan rumah terpaksa menanti pada minit ke-38 untuk merungkai jaringan selepas bola umpanan Afiq Fazail berjaya disambar Diogo dan bertindak menyepak bola masuk menewaskan Rohaimie yang tidak berada dikedudukan terbaik bagi mengelak gawang dibolosi.

Bersambung babak kedua, skuad Tambadau yang ketinggalan tampak menyusun gerakan memburu gol penyamaan namun benteng tuan rumah yang dikawal Mauricio Santos dan kapten Aidil Zafuan Abd Radzak masih ampuh mengelak gawang dibolosi.

Skuad Harimau Selatan menambah derita pelawat pada minit ke-56 selepas bola rembatan deras Safawi di luar kotak penalti selepas menerima bola umpanan Leandro Velazquez memerangkap Rozaimie yang hanya mampu melihat bola menerjah jaring.

Tuan rumah bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan tunggal pelawat pada minit ke-74 selepas Dennis Buschening yang tidak dikawal melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Gandingan pemain gantian Ramadhan Saifullah Usman bersama Safawi pada minit ke- 81 mencetuskan gol ketiga buat tuan rumah selepas bola tolakan Ramadhan yang merencanakan gerakan di dalam kotak penalti membuka ruang untuk Safawi menolak bola ke gawang yang kosong.

Hasil sepakan percuma Leandro Velazquez selang tiga minit kemudian memastikan JDT memenangi perlawanan itu dengan kemenangan 4-1 sekali gus dinobatkan selaku juara liga tujuh musim berturut-turut.

Previous
Next Post »
loading...