loading...

SPRM ambil keterangan Shuib Sepahtu

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan Shuib Sepahtu mengesahkan pelakon dan pelawak itu memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Pengarah Urusan Indigital Music, Nana Mohamad Rom berkata, hanya Shuib memberi keterangan kepada SPRM, manakala isterinya, Siti Sarah Raissuddin sekadar menemani suaminya.

“Buat masa ini, Shuib dan Sarah tidak akan memberikan kenyataan rasmi berikutan tidak mahu mengganggu siasatan SPRM bagi menghormati sistem perundangan negara.

“Namun, apa yang dapat dipastikan, Shuib memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk membantu siasatan. Hanya setakat itu penjelasan yang dapat diberikan,” katanya.

Nana berkata,pihak pengurusan juga sedang menunggu perkembangan selanjutnya daripada SPRM.

BH Online melaporkan pasangan suami isteri artis dan selebriti yang juga usahawan terkenal, adalah antara individu yang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram.

Pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas dijemput di kediaman mereka kira-kira jam 4 pagi tadi.

Sumber berkata, hingga jam 7.30 malam ini, suami artis terbabit yang juga usahawan dan penghibur, masih berada dalam siasatan.

Siasatan kes berkenaan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM.

Previous
Next Post »
loading...