loading...

Limpahan Cinta, Perkenal Nadira Di Istana Budaya

POPULAR menerusi lagu Isi Hati, pendatang baharu, Nadira Adnan bakal menggegarkan pentas Panggung Sari, Istana Budaya menerusi konsert sulungnya pada 19 dan 20 Ogos depan.

 

 

Mengangkat tema cinta sebagai simbolik pada bulan kemerdekaan, konsert yang berdurasi sekitar dua jam 45 minit itu merupakan persembahan berskala besar pertama buat penghibur berusia 19 tahun itu.

 

 

Nadira tidak berseorangan, sebaliknya persembahan yang diberi nama Konsert Cinta turut membariskan penyanyi terkenal tanah air iaitu Yuna, Amy Search , Noh Salleh, Joe Flizzow dan penghibur Indonesia, Al-Ghazali.

 

 

Dia begitu teruja kerana berpeluang berkongsi pentas dengan barisan artis popular yang telah banyak mengharumkan nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

 

 

Melihat kesempatan tersebut sebagai suatu anugerah terindah dalam hidup, Nadira akan mendendangkan sebanyak 14 buah lagu solo termasuk duet bersama bintang rock terkenal, Amy Search.

 

 

“Konsert ini merupakan permulaan buat saya mencipta nama sebagai anak seni dan mempamerkan usaha keras termasuk rasa cinta terhadap bidang muzik.

 

 

“Meskipun pada awal perancangan saat ingin mengadakan konsert, saya berasa agak gementar memikirkan apa yang akan berlaku kelak tetapi syukur segalanya berjalan lancar,” jelas Nadira yang turut popular di Indonesia.

 

 

Nadira yang juga merupakan seorang penuntut di salah sebuah universiti di Indonesia dalam bidang perubatan menjadikan kesemua selebriti yang terbabit dengan konsert pertamanya itu sebagai inspirasi untuk terus berusaha.

 

 

Bagai diberi suatu penghormatan besar buatnya, gadis itu mengakui perasaan gementar bersarang dalam hati dan mindanya saat memikirkan dia bakal berkongsi pentas dengan Amy Search.

 

 

Tidak menyangka idola yang dipuja sejak kecil akhirnya menjadi gandingan, sekali gus membuat persembahan bersama di depan khalayak.

 

 

“Pastinya sebagai penyanyi baharu saya berasa agak takut apabila digandingkan dengan penyanyi hebat sepertinya (Amy Search),” tutur Nadira.

 

 

Cukup sekadar melihat idola yang kini berada di depan mata, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman menyambut tawaran untuk bersama-sama Nadira menjayakan konsert tersebut sebagai tanda sokongan.

 

 

Pelantun lagu Isabella itu turut mengharapkan agar pengalaman menjayakan konsert berskala besar mampu menjadi suatu memori indah buat Nadira.

 

 

“Saya ada mengikuti perkembangan kerjaya seni Nadira di Indonesia dan ketika itu baru diketahui sekiranya dia amat popular di negara sebarang.

 

 

“Harapan saya agar konsert ini akan menjadi suatu kenangan terindah tidak saja buat Nadira bahkan kepada semua penyanyi yang turut menjayakan konsert ini,” kata Amy bersungguh-sungguh.

 

 

Konsert Cinta akan memperlihatkan kehebatan Eddie Slam yang bertindak sebagai pengarah muzik dengan diiringi oleh tenaga pemuzik handalan Malaysia.

 

 

Tiket konsert dijual pada harga RM100, RM175, RM250, RM300 dan RM500 yang boleh didapati secara online di www.tiketpro.com.my atau kaunter tiket Istana Budaya. Sebarang pertanyaan mengenai persembahan tersebut, boleh hubungi talian 03-7880 7999.-Kosmo



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...