loading...

Sistem Amaran Awal Bencana Perlu Dipertingkat

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkenaan sistem amaran awal bencana dipergiatkan supaya sistem itu dapat mengesan sebarang bencana dengan lebih baik, sebaiknya sebelum ia berlaku.

Ketika ini, bencana seperti gempa bumi hanya dikesan oleh sistem amaran itu sebaik ia berlaku dan walaupun sistem itu dilihat banyak membantu dalam melakukan persediaan serta usaha menyelamat, tetapi kini ada keperluan untuk bencana itu dikesan sebelum ia berlaku.

Di Malaysia, sistem amaran awal tsunami yang diguna pakai sejak 2005 juga digunakan untuk mengesan bencana lain.

Pakar Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Azmi Hassan berkata buat masa ini tiada sebarang sistem yang mampu meramal atau mengesan kemungkinan berlakunya bencana seperti gempa bumi, untuk itu, R&D berkenaan sistem tersebut perlu dilaksanakan.

“Gempa bumi ini bukan seperti aktiviti letusan gunung berapi yang kita boleh ramal bila ia akan meletus. Kemungkinan berlaku gempa bumi juga kita tidak tahu. Buat masa sekarang cuma ada sistem yang mengesan gempa bumi yang sedang dan telah berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Azmi berkata aktiviti R&D diperlukan bagi memastikan sistem sedia ada mampu menyalurkan maklumat awal kepada masyarakat selain mengurangkan risiko kemusnahan serta kemalangan jiwa.

Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang digunakan sekarang hanya berupaya mengesan kejadian gempa bumi dan tsunami dalam tempoh 15 minit selepas kejadian.

Semalam, gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2 pada skala Richter menggegarkan Ranau, Sabah pada 9.06 malam dan turut dirasai di beberapa lokasi lain di negeri itu.

Gempa itu merupakan yang terkuat selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Gunung Kinabalu pada 2015.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Alui Bahari berkata SAATNM merupakan teknologi pengesanan bencana yang diguna pakai di beberapa negara maju dan mula digunakan di negara ini susulan bencana tsunami yang teruk melanda Aceh, Indonesia pada Disember 2004.

“Kita (MET Malaysia) diberikan tanggungjawab untuk menyedia dan menyelaraskan sistem ini. Petugas bawah seliaan Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Bencana bertugas mengikut shif di stesen pengawasan yang beroperasi 24 jam setiap hari, termasuk hari minggu dan cuti umum,” katanya.

SAATNM mempunyai tiga komponen utama iaitu pengumpulan data dan maklumat, pemprosesan serta penyebaran. Komponen Pengumpulan Data SAATNM terdiri daripada 14 stesen seismik di seluruh negara. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...