loading...

Salvador Alvarenga: lelaki yang sesat di lautan selama 438 hari

kisah salvador alvarenga sesat dilautan

Alvarenga berusia 37 tahun, seorang nelayan yang berasal dari Salvador dan bekerja di Mexico. Lelaki yang suka meminum minuman keras ini ialah seorang bapa tunggal kepada seorang anak perempuan berusia 13 tahun tinggal bersama bekas isterinya di El Salvador. 

Tidak hiraukan ribut yang bakal melanda

Tanggal 18 November 2012, Alvarenga telah merancang untuk keluar ke Lautan Pasifik pada jam 10 pagi dan ingin pulang pada jam 4 keesokan harinya. Pembantunya, Ezequiel Cordoba ialah seorang nelayan baru berusia 22 tahun. Berbekalkan alatan menangkap ikan yang mencukupi, dia juga membawa sebuah peti bersaiz 5 x 4 kaki untuk menyimpan hasil tangkapan.

Alvarenga telah diingatkan mengenai ribut yang bakal melanda namun tidak ada yang dapat menghalangnya untuk mencari rezeki. Dalam fikirannya, jika dia keluar ke lautan seharian, dia akan mendapat duit yang cukup untuk bertahan selama seminggu.

Nasib malang

salvador alvarenga sesat di lautan selama 438 hari 5bu51

Setelah berlayar sejauh 75 batu di tengah lautan, Alvarenga mula memasang jaringnya yang berukuran 2 batu. Pada masa ini, ribut telah mula melanda kawasan pesisiran pantai namun belum sampai kepada Alvarenga. Namun pada jam 1 pagi, ombak mula memukul bot kecil Alvarenga hingga membuatnya terhoyong-hayang. Cordoba memberitahu Alvarenga dan mengajaknya pulang kerana keadaan ribut yang semakin kuat.

Namun dengan angin dan ribut yang kuat, bot kecilnya mula dipenuhi air. Keadaan menjadi teruk dengan begitu cepat dan Alvarenga terpaksa membuat keputusan untuk memotong jaringnya yang berharga ribuan ringgit itu. Dia kemudian memacu botnya ke arah daratan yang ingin ditujunya iaitu Chocohuital yang dianggarkan sejauh 6 jam perjalanan. Kemudian dia menghubungi majikannya, Willie, untuk memberitahu keadaannya.

Ketika waktu subuh hampir tiba, Alvarenga mula terlihat gunung berdekatan tempat yang dia ingin tujui namun keadaannya berubah menjadi lebih teruk apabila enjinnya pula mati ketika hanya 15 batu dari daratan. Dia seakan-akan tidak percaya dan cuba menghidupkan semula enjinnya sehingga tali penghidup enjinnya putus.

Alvarenga kemudian berteriak kepada radionya, “Willie, Willie! Datang selamatkan saya sekarang”. Kemudian terdengar jawapan balas daripada majikannya itu, “Tunggu, kami akan datang”. Sejurus selepas itu, nasib malang Alvarenga menjadi lebih buruk apabila radionya pula mati. Bot mereka dihanyutkan ombak lebih jauh ke tengah lautan.

Gembira hujan turun 

salvador alvarenga sesat di lautan selama 438 hari 5bu74

Ribut yang melanda laut itu berterusan selama 5 hari sebelum reda. Pada masa ini, Alvarenga dan Cordoba sudah berada sejauh 280 batu dari daratan. Mereka tahu cara untuk diselamatkan ialah jika mereka terjumpa bot lain yang berdekatan. Namun, dengan bot hanyut sekecil itu, ia hanya boleh dilihat oleh bot-bot lain dalam jarak dekat sahaja. Cordoba kemudian mengeluh “Kita akan mati”.

Alvarenga berpesan kepada pembantunya itu agar jangan sesekali meminum air laut dan mengingatkannya bahawa pasukan penyelamat akan tiba nanti. Namun, Alvarenga tahu dia berada terlalu jauh dari lingkungan kawasan nelayan menangkap ikan. Keadaan siang yang panas pula membuatkan mereka rasa seperti terbakar dan pada waktu malam pula mereka terpaksa memanjat tong ikan dan tidur di atasnya. Dahaga dan lapar menjadi ujian terbesar mereka sehingga Alvarenga terpaksa memakan kuku jarinya sendiri.

Empat hari kemudian, barulah hujan turun dan membuatkan kedua-dua nelayan ini sangat gembira. Mereka berjaya menadah air hujan sebanyak 5 gelen menggunakan bekas hanyut yang mereka temui. Ia sekurang-kurangnya membuatkan mereka dapat bertahan selama seminggu lagi.

Selepas 11 hari terkandas, Alvarenga berjaya menemui seekor penyu. Mereka memotongnya kecil-kecil, dicelup air laut, dan dijemur di tengah panas bagi memasaknya. Cangkerangnya pula digunakan sebagai pinggan. 

Cuba bertahan

salvador alvarenga sesat di lautan selama 438 hari 5bu36

Cordoba mula mengalami delusi akibat kebuluran dengan meminta agar Alvarenga memberinya buah oren. Alvarenga kemudian berkata, “Saya akan pergi ke kedai dan pulang sebentar lagi”. Dia kemudian pergi ke hadapan bot dan kembali 5 minit kemudian berkata “Kedai tutup dan hanya akan dibuka sejam lagi dan mereka menghidangkan makanan segar”. Cara ini berjaya membuatkan Cordoba berhenti merungut dan tertidur.

Setelah 2 bulan terkandas, Alvarenga sudah mula biasa dengan rutin hariannya. Pada jam 5 pagi dia akan bangun tidur, duduk di hadapan kapal untuk melihat arah matahari terbit agar tahu di mana arah daratan yang perlu dituju. Kemudian, dia akan memeriksa perangkap yang dipasangnya pada waktu malam untuk melihat hasil tangkapan untuk dimakan.

Perhubungan Alvarenga dan Cordoba juga menjadi semakin akrab. Mereka akan tidur bersama di dalam peti ikan dan memerhatikan bintang di langit. Cordoba akan menyanyikan lagu masa kecilnya yang disukai Alvarenga. Mereka juga selalu berangan agar kapal terbang melintasi mereka dan ternampak mereka lalu diselamatkan.

salvador alvarenga sesat di lautan selama 438 hari

Perayaan hari Natal

Pada hari yang mereka kirakan sebagai hari perayaan Krismas, mereka menyiapkan makanan dengan menangkap burung yang hinggap di bot. Akan tetapi, tiba-tiba Cordoba menjerit memberitahu perutnya sangat sakit. Kelihatan buih dan cairan meleleh keluar dari mulut Cordoba. Kemudian Alvarenga menjumpai bangkai ular berbisa dari perut burung yang dimakan Cordoba. Alvarenga mengetahui bahawa bisa ular itu telah menyerap dalam tubuh Cordoba.

Walaupun tidak mati akibat bisa bangkai ular tersebut, selama 2 bulan berikutnya Cordoba menghadapi tekanan psikologi dan berperang dengan emosi sendiri sambil terbaring dan kadangkala menggeletar tubuhnya. Tangannya kelihatan seperti ranting kayu, pinggangnya kelihatan hanya sebesar lengan. Dia juga berharap agar mati daripada terus kebulurani. Cordoba juga mengucapkan selamat tinggal kepada Alvarenga dan ingin terjun ke dalam laut namun berjaya dihalang Alvarenga yang sering kali menggesanya agar berhenti cuba membunuh diri.

Alvarenga memberitahu mereka perlu melawan perasaan untuk meneruskan hidup dan dapat menceritakan pengalaman pahit mereka itu apabila selamat kelak. Namun beberapa hari kemudian, Cordoba memberitahu rakannya, “Saya akan mati." Alvarenga cuba memasukkan air minuman bersih ke dalam mulut rakannya, namun Cordoba tidak mampu menelan.

Dalam keadaan panik, Alvarenga berkata, “Jangan mati dan jangan tinggalkan saya sendirian." Tidak lama selepas itu, Cordoba menghembuskan nafas terakhirnya. Mayatnya diletakkan di hujung bot supaya tidak dibasahi air laut.

salvador alvarenga sesat di lautan selama 438 hari 5bu35

Cara terbaik menangani kematian

Keesokan paginya Alvarenga bertanyakan khabar kepada Cordoba, “Bagaimana kamu rasa, kamu cukup tidur semalam?”. Kemudian, Alvarenga sendiri menjawab bagi pihak Cordoba dan beranggapan cara ini adalah terbaik untuk menangani kematian rakannya itu.

“Saya sihat dan semalam saya tidur dengan nyenyak. Kamu sudah makan?”

“Saya sudah makan tadi.”

“Saya juga sudah makan tadi dengan makanan di dalam syurga.”

“Bagaimana dengan kematian? Adakah kamu berasa sakit?”

“Kematian itu sebenarnya indah, saya sedang menunggu kamu, Alvarenga.”

“Saya tidak mahu mati lagi.”

6 hari setelah kematian rakannya, Alvarenga melepaskan mayat Cordoba ke dalam laut. Dia kemudian memanjat tong ikan dan menangis teresak-esak mengenangkan rakannya itu. Dengan ketiadaan Cordoba, Alvarenga cuba membuatkan dirinya sibuk. Dia cuba untuk mandi bagi menyegarkan dirinya akan tetapi takut jika ada jerung berdekatan.

Untuk memeriksa kemunculan jerung, dia akan membuang bangkai burung yang ditangkapnya terlebih dahulu, jika tiada kelibat jerung memakan bangkai itu barulah dia berani terjun dan berenang-renang di sekitar bot. Dia berangan sedang mandi di pantai bersama rakan-rakannya yang lain. Walaupun 5 minit berada di luar bot, Alvarenga berasa ianya sangat menenangkan.

Alvarenga juga menemui kekuatan apabila teringat akan anak perempuannya yang berusia 14 tahun iaitu Fatima. Dia sentiasa terbayang jika berjaya diselamatkan dan sentiasa berdoa agar diberi peluang terakhir untuk hidup supaya dapat menebus kembali setiap kesalahannya terhadap Fatima.

Hancur harapan sebelum keajaiban berlaku

salvador alvarenga sesat di lautan selama 438 hari 5bu89

Doanya dimakbulkan apabila sebuah kapal nelayan telah muncul. Alvarenga terlihat tiga orang pemancing dan melambai ke arah mereka untuk diselamatkan. Mereka membalas lambaian Alvarenga namun tidak membantunya kerana tidak tahu yang dia sebenarnya telah sesat dan terkandas. Kemudian, kapal nelayan itu beransur pergi dan semakin menjauh.

Kejadian ini membuatkan Alvarenga hilang semangat untuk hidup dan hilang selera makan. Dia teringat akan Cordoba yang mahu menamatkan riwayat sendiri. Pemikiran yang sama mula menghantui dirinya. Selama 11 bulan hanyut dan dengan pakaian yang koyak-rabak, dia hanya tinggal sehelai baju untuk dipakai dan ia adalah milik Cordoba. Alvarenga mula mempersoalkan mengapa tuhan menurunkan ujian getir ini kepadanya. Dia beranggapan sepatutnya dia telahpun mati berbulan sebelum itu.

salvador alvarenga bersaa keluarga yang terpisah

Segalanya berubah tanggal 30 Januari 2014 apabila dia menemui kelapa hanyut dan banyak burung berterbangan hampir dengan botnya. Alvarenga mendongakkan kepalanya dan terlihat sebuah pulau di sebalik hujan renyai itu. Dia ingin segera terjun dan berenang ke daratan namun takut akan dimakan jerung. Dia menunggu sehingga begitu hampir barulah dia terjun untuk berenang ke daratan. Dia tiba di pantai dan terbaring kelegaan sambil memeluk pasir seolah-olah menjumpai harta karun yang paling berharga.

Alvarenga kemudiannya dijumpai oleh sepasang suami isteri yang mendiami pulau itu. Pulau itu ialah Pulau Eban Atoll yang terletak di selatan Marshall Island dan merupakan salah satu tempat terpencil di dunia. Jika dia terlepas mendarat di pulau ini, pulau yang seterusnya mungkin dijumpai ialah kepulauan Filipina sejauh 3,000 batu lagi.

Setelah 11 hari berada di pulau itu, kesihatannya bertambah baik untuk kembali ke El Salvador. Setelah pulang, dia berjumpa anaknya Fatima. Mereka berpelukan sambil menangis dan melepaskan kerinduan yang tidak tertahan.

Alvarenga telah menamatkan penderitaan hanyut di lautan selama hampir 14 bulan itu. Dia yang dianggap sangat malang dan pada masa yang sama sangat bernasib baik itu telah selamat kembali ke pangkuan keluarga di kampung halaman.

Previous
Next Post »
loading...