loading...

Polis UK Kenal Pasti 200 Saksi Serangan Agen Saraf

SALISBURY – Polis British mengenal pasti lebih 200 saksi dan meneliti lebih daripada 240 bahan bukti dalam siasatan serangan agen saraf terhadap bekas perisik Russia dan anak perempuannya, kata Menteri Dalam Negeri, Amber Rudd.

Bekas ejen, Sergei Skripal, 66, dan anak perempuannya Yulia, 33 tahun kini berada di hospital dalam keadaan kritikal sejak Ahad lalu. Mereka ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bangku berhampiran kediaman mereka di bandar Salisbury, England.

“Kedua-dua mangsa masih berada di hospital dalam keadaan kritikal tetapi stabil,” kata Rudd kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa keselamatan Cobra kerajaan.

Skripal mengkhianati berpuluh-puluh ejen Russia kepada perisikan British sebelum ditahan di Moscow pada 2004. Dia dijatuhi hukuman 13 tahun penjara pada 2006 dan diberi perlindungan di Britain selepas ditukarkan dengan perisik Russia pada 2010.

Kebanyakan media dan ahli politik British membuat spekulasi bahawa Russia mungkin memainkan peranan dalam serangan ke atas Skripal. Tetapi Rudd mengulangi bahawa masih terlalu awal untuk menuding jari dan polis harus diberi masa dan ruang untuk menentukan fakta-fakta.

Kremlin menafikan sebarang pembabitan dalam insiden itu dan menuduh media British cuba mencetus sentimen anti-Russia. – Reuters/BH ONLINE

Loading...

Previous
Next Post »
loading...