loading...

MP Johor Teruja Shikansen Mungkin Beroperasi

KUALA LUMPUR- Seorang anggota Parlimen (MP) dari Johor, teruja mengenai kemungkinan penyertaan Shinkansen, sistem tren bulet terkemuka di dunia, beroperasi di Malaysia, berdasarkan bidaan kukuh syarikat Jepun itu untuk memenangi kontrak melaksanakan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Anuar Manap, MP Sekijang, berkata manfaat HSR menjangkaui penjimatan masa perjalanan secara drastik antara kedua-dua negara, bahkan membawa kesan limpahan ekonomi yang besar seperti pekerjaan di Malaysia, terutama di wilayah selatan.

“Limpahan ekonomi di Johor sangat besar, dan cadangan tiga hentian di laluan Johor sahaja, iaitu Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru, sudah pasti akan terus membuka potensi kawasan berkenaan seperti yang kita dapat lihat di sekitar stesen-stesen Shinkansen di Jepun,” katanya kepada Bernama.

Namun, aspek yang sama penting untuk dipertimbangkan dalam melaksanakan sistem pengangkutan awam ialah keselamatan dan kecekapan, dengan syarikat kereta apiJepun itu mempunyai rekod yang sempurna, katanya ketika ditanya tentang pemasaran agresif melalui iklan surat khabar tempatan, papan iklan dan media elektronik oleh Shinkansen.

“Sepanjang 50 tahun lepas, Shinkansen telah mencatat rekod perkhidmatan tanpa kematian, dan kita semua tahu bahawa Jepun merupakan negara yang meletakkan premium tertinggi ke atas aspek keselamatan, teknologi dan kecekapan sebagai nilai teras,” kata Anuar.

Tender antara pembida antarabangsa untuk HSR, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM50 bilion, dijangka dikemukakan pada pertengahan tahun ini, dengan pembida yang berjaya akan diketahui pada akhir tahun.

HSR, projek infrastruktur terbesar di Asia Tenggara, apabila beroperasi pada 2026, akan mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit berbanding empat hingga lima jam sekarang.

Anuar berkata beliau juga tertarik dengan tawaran membabitkan penyertaan ekuiti Jepun kepada syarikat tempatan untuk menjadi rakan usaha sama.

“Memandangkan infrastruktur kereta api merupakan industri yang masih baru di Malaysia, saya yakin syarikat tempatan sudah pasti akan tertarik untuk mengambil bahagian dalam projek barharu ini, yang bukan sahaja akan menyediakan peluang perniagaan dan pelaburan baharu, malah mewujudkan peluang pekerjaan.”

Beliau juga bercakap mengenai peluang menarik dalam aspek pendidikan, dengan pengumuman syarikat Jepun itu untuk menubuhkan pusat latihan dan kecemerlangan bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang mahir untuk mengurus sistem teknologi tinggi itu, di dua universiti di Johor – Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

“Ini belum pernah dilakukan sebelum ini, dan kita memerlukan teknologi seperti itu, terutama pada masa ini, selain HSR, Malaysia juga sedang membangunkan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur dan MRT. Oleh itu, fokus untuk ini sangat perlu, dan pemilihan kedua-dua universiti itu sangat tepat,” katanya.– BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...