loading...

8 adat perkahwinan yang paling aneh dan luar biasa

perkahwinan yang pelik dan aneh

Perkahwinan ialah suatu ikatan hubungan antara lelaki dan wanita yang diiktiraf oleh budaya dan kepercayaan agama masing-masing. Terdapat pelbagai adat dan tradisi perkahwinan yang berbeza di seluruh dunia mengikut budaya yang pelbagai. Akan tetapi, kali ini kami ingin kongsikan lapan adat perkahwinan atau adat bersanding yang dianggap paling luar biasa, pelik, dan aneh dari seluruh dunia:

1. Menghitamkan pengantin

pengantin dihitamkan dengan disimbah cat hitam

Menghitamkan pengantin ialah tradisi yang sudah lama diamalkan di Scotland. Sebelum perkahwinan berlangsung, pengantin akan ‘diculik’ oleh rakan-rakan baik mereka sebelum dituang segala campuran benda kotor diperbuat daripada susu basi, tepung, telur, sehinggakan bancuhan tar. Biasanya campuran cecair hitam adalah sering digunakan. Ia bertujuan untuk menghalau roh jahat yang mengganggu pengantin dan masih dilakukan di sesetengah tempat di Scotland.

2. Tetamu dibenarkan mencium pengantin

tetamu boleh cium pengantin

Mencium ketika berkahwin adalah perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana budaya barat namun ia tidaklah sama dengan adat di Sweden. Di sana, para tetamu yang masih bujang dibolehkan mencium pengantin lelaki atau wanita. Jika pengantin lelaki keluar dari dewan atau pergi ke tandas maka para tetamu yang masih bujang dibolehkan mengucup pengantin wanita dan begitu juga sebaliknya.

3. Memakan sisa makanan di dalam mangkuk tandas 

kenduri makan dalam mangkuk tandas

Ritual pelik ini berasal dari Perancis. Walaupun ibu kotanya Paris merupakan bandar paling romantik namun rakyat Perancis mempunyai ritual pelik yang boleh meloyakan. Pada jamuan makan perkahwinan, sisa lebihan makanan atau sup akan dimasukkan ke dalam mangkuk tandas dan kedua-dua pengantin perlu memakannya. Mereka mempercayai bahawa amalan ini akan membawa tuah untuk pasangan pengantin. Kini, sisa makanan dan sup telah digantikan dengan minuman keras atau coklat, namun masih juga beralaskan mangkuk tandas.

4. Pengantin lelaki memanah pengantin wanita

pengantin lelaki memanah pengantin perempuan

Bagi masyarakat minoriti Yugur di China, pengantin lelaki diberikan sebuah busur dan tiga anak panah. Dengan peralatan yang diberi, dia perlu memanah bakal isterinya sendiri sebanyak 3 kali. Jangan khuatir kerana anak panah yang digunakan tidak mempunyai mata yang tajam (jika pengantin wanita mati maka siapa pula yang nak berkahwin pada majlis perkahwinan tersebut, kan?). Pengantin lelaki kemudian akan mematahkan anak panah dan busurnya supaya pasangan itu akan hidup bahagia selamanya.

5. Membayar duit untuk menari dengan pengantin

bayar pengantin untuk menari

Di Poland, para tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan dibenarkan menari mesra dengan pengantin lelaki mahupun wanita. Namun begitu, mereka perlu membayar sejumlah wang untuk menari bersama pengantin. Duit kertas yang biasanya dilekatkan atau dimasukkan ke dalam gaun atau sut pengantin bertujuan bagi membantu pengantin memulakan kehidupan baru bersama nanti. Kini, adat ini telah tersebar dan dipraktikkan sehingga ke Filipina.

6. Berkahwin dengan pokok sebelum menebangnya

berkahwin dengan pokok sebelum ditebang

Di negara filem Bollywood ini, tersebar satu ritual pelik apabila pengantin wanita harus berkahwin dengan sebatang pokok. Tukang tilik memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan di India. Jika pengantin wanita tidak secocok dengan pasangannya setelah ditilik, dia harus mengahwini sebatang pokok hidup dan kemudian pokok itu ditebang bagi membuang nasib malangnya itu. Antara artis terkenal yang melakukan upacara ini ialah Aishwarya Rai dan pasangannya Abhishek Bachchan.

7. Memecahkan pinggan serta kaca bagi mengusir roh jahat

memecahkan pinggan mangkuk untuk halau hantu

Di Jerman, pada malam sebelum berlangsungnya perkahwinan, ahli keluarga dan sahabat terdekat bagi pasangan pengantin akan memecahkan pinggan mangkuk atau kaca dengan membalingnya ke tanah. Ritual ini dipanggil Polterabend yang bermaksud "malam membuat bising" dalam bahasa Jerman. Tradisi ini dibuat kerana dipercayai membawa nasib yang baik selain mengusir roh jahat yang tidak suka bunyi pinggan atau kaca dipecahkan.

8. Mencuri kasut

kasut pengantin dicuri tetamu

Di sesetengah kawasan di India, pengantin lelaki harus membuka kasutnya sebelum naik ke atas pelamin dan ini boleh menimbulkan kekecohan. Pihak keluarga pengantin wanita akan berusaha mencuri kasut itu manakala keluarga lelaki pula akan berusaha untuk melindunginya. Jika kasut berjaya dicuri, pihak pengantin lelaki perlu membayar sejumlah wang tebusan.

Pelik-pelik juga kan tradisi perkahwinan masyarakat lain. Dalam banyak-banyak kenduri yang anda pernah buat atau hadiri, apakah perkara paling pelik yang anda pernah saksikan?

Previous
Next Post »
loading...