loading...

Tanam Benih Padi Dipantau Elak Guna Benih Tidak Sah

PASIR SALAK – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memastikan tiada penanaman benih padi secara tidak sah dijalankan di negara ini kerana ia boleh menjejaskan mutu tanaman itu.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pemantauan secara tegas perlu dilakukan kerana benih padi yang dibawa masuk secara haram boleh menyebarkan penyakit baharu.

“Kami tidak akan membenarkan perkara ini berlaku kerana akan timbul banyak masalah nanti.

“Ini kerana benih itu tidak teruji dan bukan jenis benih yang sah dan kita juga tidak mahu penyakit yang timbul merebak sehingga ke sawah padi yang lain,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bancian pengundi di sekitar Chenderong Balai dekat sini, hari ini.

Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak mengulas kegiatan penanaman padi ‘Black Madras’, sejenis padi asing berwarna hitam dikatakan berasal dari Korea, yang ditanam secara haram di Tambun Tulang, Perlis.

Rabu lepas, Jabatan Pertanian Perlis membongkar kegiatan itu setelah pemiliknya mengiklankan penjualan benih berkenaan di Facebook beberapa hari lalu dan siasatan mendapati ia dipercayai dibawa masuk secara haram

Menjelas lanjut Tajuddin berkata sehingga kini tiada laporan berhubung kegiatan penanaman benih padi berkenaan di negeri lain.

Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memantau peniaga yang menaikkan harga sayur sehingga 40 peratus daripada harga pasaran.

“Saya minta pihak berkaitan memantau kegiatan peniaga ini, ada sesetengah mereka bertindak menyorok bekalan sayur dan sampai satu masa mengenakan harga yang mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung kenaikan harga sayur di beberapa tempat di seluruh negara berikutan musim hujan baru-baru ini. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...