loading...

Polis Tahan Lelaki Warga Filipina Samun Kontraktor

TAWAU – Polis menahan seorang lelaki warga Filipina berusia 50 tahun yang dipercayai terlibat dalam samun bersenjata di Jalan Cole Adam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata suspek ditahan polis di perkarangan masjid al-Kauthar di sini sejurus selepas menyamun seorang kontraktor berumur 38 tahun pada jam 3.30 petang.

“Mangsa seorang lelaki telah didatangi suspek yang mengacukan pisau panjang berukuran kira-kira 36cm dan mengambil duit mangsa berjumlah RM2,000 sebelum melarikan diri ke kawasan Sabindo.

“Sepasukan anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan kejadian yang menerima maklumat kejadian daripada orang awam terus mengejar suspek dan berjaya menahannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fadil berkata polis turut merampas sejumlah wang tunai RM400 dan sebatang kayu menyerupai pisau panjang daripada suspek manakala baki wang yang dilaporkan mangsa sedang dikesan dipercayai suspek membuangnya sewaktu dikejar.

Suspek, katanya, yang pernah dipenjara selama enam bulan sebelum diusir ke negara asal pada tahun 2015, turut didapati positif dadah jenis syabu dan kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...