loading...

NGO Kerabat Sifatkan Mahfuz Biadap

KUANTAN – Badan Kebajikan Kerabat Pahang menyifatkan Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar biadap kerana menjadikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah sebagai bahan jenaka dalam ceramah politiknya.

Wakil pertubuhan itu, Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata perbuatan itu tidak wajar dilakukan dan boleh disifatkan melanggar tatasusila dan menghina institusi kesultanan yang wajar dihormati.

“Kita minta supaya pihak yang berkenaan memohon maaf kepada Sultan Pahang dan semua rakyat negeri ini kerana perbuatannya menyentuh perasaan kerabat, waris dan rakyat,” katanya.

Wan Abdul Wahid berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Mahfuz di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sinihari ini, yang turut disertai tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NGO berkenaan ialah Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Pahang, Persatuan Muaythai Pahang dan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa).

Mahfuz didakwa mengulas kewajaran Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri oleh pakatan pembangkang dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal sebagai Sultan Pahang walaupun sedang gering.

Anggota politik itu didakwa berbuat demikian dalam satu ceramah politik dan rakamannya kini tular di laman sosial Whatsapp.

Selain itu, Wan Abdul Wahid berkata pihaknya juga membuat laporan polis berhubung penularan rakaman video Sultan Pahang di kamar beradu baginda yang dipercayai berlaku pada sambutan ulang tahun baginda.

“Kita percaya perbuatan itu dilakukan oleh orang di dalam Istana dan kita mahu polis menyiasat individu yang terlibat kerana perbuatan itu melanggar peraturan dan keselamatan di dalam Istana.

“Tindakan seharusnya dilakukan selain mencegah individu berkenaan daripada memasuki Istana pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...