loading...

Maklumat Wang RM50j Tak Dinyatakan Dalam Akhbar Utusan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa maklumat mengenai wang RM50 juta, yang didakwa diberikannya kepada peguam Karpal Singh, kononnya bagi menyogok hakim dan pendakwa raya tidak dinyatakan secara spesifik dalam mana-mana tiga artikel akhbar Utusan Malaysia.

Anwar, 71, bekas Ketua Pembangkang yang menyambung keterangannya hari ini berkata beliau bagaimanapun memperoleh maklumat mengenai wang RM50 juta daripada Karpal Singh.

“Mendiang Karpal memperoleh maklumat mengenai RM50 juta itu menerusi berita yang disiarkan dalam Buletin Utama TV3 pada 2 Ogos 2013 dan perkara tersebut dirujuk kepada saya.

“Kami kemudian berbincang mengenai perkara itu sebelum mendiang membuat draf dan membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan,” katanya yang turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan berita dalam akhbar Utusan hanya merujuk kepada dakwaan rasuah.

Anwar, selaku plaintif dalam kes saman fitnah itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Azhar Arman Ali yang mewakili akhbar itu dalam perbicaraan kes samannya terhadap Datuk Dr Mazlan Ismail, TV3 dan Utusan Melayu atas dakwaan mengaitkannya terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan berkata beliau tidak bersetuju dengan saranan Azhar bahawa penerbitan artikel berunsur fitnah dalam akhbar Utusan tidak memberi impak kepada kerjayanya sebagai ahli politik.

Pada 15 Okt 2015, Anwar yang diwakili peguam Sangeet Kaur memfailkan saman selepas mendakwa Mazlan telah menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah menerusi Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan mendakwa Mazlan juga menyebabkan perkataan fitnah itu diterbitkan dii akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Beliau mendakwa Mazlan mengadakan persidangan media yang mengandungi perkataan fitnah serius dan berniat jahat membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin bersambung Khamis ini. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...