loading...

Inisiatif Felda 2.0 Ubah Wajah Komuniti Felda

BENTONG – Inisiatif Felda 2.0 yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Lurah Bilut pada 4 Feb depan akan menjadi titik mula perubahan wajah baharu bagi 317 kawasan tanah rancangan itu di negara ini.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, berbeza dengan tujuan asal penubuhan tanah rancangan itu kira-kira 60 tahun lalu yang hanya menumpukan terhadap aspek meningkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar, Inisiatif Felda 2.0 pula menumpukan pada usaha mewujudkan komuniti pintar dan mampan.

“Kerajaan mulakan Felda dahulu untuk pembangunan modal insan, sebab itu kita lihat cara peneroka dipilih terdiri daripada keluarga miskin dan tidak ada tanah supaya boleh membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Namun kali ini kita akan mengukuh dan membangunkan komuniti dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk anak-anak termasuk dalam bidang kesihatan, pendidikan dan teknologi yang setaraf dengan kemudahan di bandar.

“Selain itu menerusi Inisiatif Felda 2.0 ini, kita bukan sahaja akan melahirkan komuniti yang sihat dan berdaya tahan tetapi juga lestari dari segi ekonomi juga alam sekitar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Keluarga Felda Lurah Bilut, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Anggota Parlimen Bentong dan Pengarah Besar Felda Datuk Abdul Ghani Mohd Ali.

Menurut Shahrir secara keseluruhan terdapat sebanyak 11 wilayah Felda di seluruh negara dan sebagai permulaan pada tahun ini sebanyak tiga wilayah termasuk Felda Lurah Bilut terpilih untuk menjalani transformasi Inisiatif Felda 2.0.

“Setiap wilayah akan diberikan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menambah baik kemudahan-kemudahan yang ada seperti pejabat, jalan raya dan akan dijalankan dengan kerjasama agensi serta kementerian lain seperti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya.

Menurutnya Felda Lurah Bilut dipilih untuk perintis inisiatif Felda 2.0 kerana ia adalah tanah rancangan pertama dalam percubaan pertama kerajaan membangunkan modal insan 60 tahun lalu yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana negara di dunia.

Selain itu, katanya, kira-kira 6,000 penduduk Felda Lurah Bilut, di sini bakal menikmati taraf kehidupan sama seperti di bandar menerusi pelaksanaan projek Lembah Digital Bilut berikutan kawasan itu bakal dilengkapi pelbagai infrastruktur seperti capaian internet berkelajuan 4G (Generasi Keempat) dan jalur lebar gentian optik.

Sementara itu, lebih 1,000 warga Felda Lurah Bilut memeriahkan Hari Keluarga yang julung kali diadakan di tanah rancangan tertua di negara yang diisi dengan pelbagai acara termasuk pertandingan futsal, sukan rakyat dan gotong royong kenduri kampung. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...