loading...

ILKA Perlu Tawar Kursus Lebih Fleksibel Kepada Golongan Muda

KUALA LUMPUR – Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) perlu lebih fleksibel dalam menawarkan kursus latihan kemahiran jangka pendek kepada golongan belia agar dapat memenuhi keperluan industri pada masa ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kursus berkenaan juga diharapkan dapat memastikan kebolehpasaran pelatih.

“ILKA hendaklah fleksibel agar apabila industri memerlukan tenaga kerja dalam sesebuah bidang, maka mereka dapat segera menganjurkan kursus jangka pendek bagi melatih golongan belia mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut yang seterusnya dapat mengisi kekosongan pekerjaan itu.

“Bagi memastikan golongan muda mengisi peluang pekerjaan ditawarkan industri, kami (kementerian) sentiasa meneliti unjuran keperluan tenaga kerja diperlukan mereka dan sekiranya kursus latihan kemahiran jangka pendek itu dapat diwujudkan segera, golongan muda ini dapat mengisi kekosongan pekerjaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Kampus Satelit Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua @ Rapid Bus Sebagai Perintis Bagi Kursus Penyelenggaraan Bas Elektrik di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan, hari ini.

Khairy berkata ILKA kini tidak hanya perlu menumpukan kepada program latihan tahap tinggi iaitu sijil dan diploma sahaja, sebaliknya perlu memperbanyakkan kursus latihan jangka pendek dalam tempoh tiga hingga 10 bulan bagi memenuhi keperluan pekerjaan kritikal pada satu-satu masa.

Sementara itu, IKTBN Dusun Tua meneruskan kerjasama strategik dengan Rapid Bus Sdn Bhd melalui pelaksanaan Kursus Penyelenggaraan Bas Elektrik bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang penyelenggaraan bas elektrik selaras dengan peningkatan bilangan bas tersebut sebagai pengangkutan awam.

Kursus tersebut akan dilaksanakan selama tiga bulan di IKTBN Dusun Tua dan tujuh bulan di Rapid Bus Sdn Bhd. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...