loading...

2 Beradik Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Di Tali Air

PASIR SALAK – Dua beradik termasuk seorang kanak-kanak berumur enam tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di sebuah tali air di Peringkat 10 Felcra, Changkat Lada di sini, tengah hari tadi.

Mohamad Raihan Abd Samad dan Lokman, 20, dipercayai dihanyutkan air yang berpusar semasa mandi manda bersama-sama seorang lagi anggota keluarga mereka, Kamarudin, 18.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, ketiga-tiga beradik itu kemudian cuba berenang ke tebing sungai untuk menyelamatkan diri.

“Ketika hampir sampai di tebing, dua mangsa dipercayai lemas dan cuba diselamatkan oleh seorang lagi yang terselamat tetapi gagal kerana mereka terlepas daripada pegangannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata lima anggota polis dan empat anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa sebaik menerima laporan kejadian.

“Jabatan Pengairan dan Saliran juga diminta bantuan untuk menutup pintu air bagi mengurangkan air dalam terusan,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...