loading...

Tiga Mayat Ditemui Terapung Di Perairan Kudat

KUDAT – Penduduk Kampung Malawi digemparkan dengan penemuan tiga mayat yang terapung di perairan Tanjung Malawali, semalam.

Memetik laporan BH Online, difahamkan penemuan mayat berkenaan disedari sekitar jam 10.20 pagi sebelum perkara berkenaan dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dua daripadanya merupakan mayat wanita dipercayai mangsa lemas di perairan Pulau Mangsee, Filipina sebelum dihanyutkan ke perairan Tanjung Malawali.

Menurut sumber lagi, ketika ditemui mayat ketiga iaitu seorang lelaki dikatakan hanya berseluar pendek manakala dua lagi mayat wanita itu dalam keadaan tidak berpakaian.

Tambah sumber lagi, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan kembung dan tiada sebarang luka mahupun kecederaan.

Sementara itu, berdasarkan maklumat daripada penduduk kampung itu, mereka tidak mengenali identiti mangsa.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata pihaknya giat menjalankan siasatan untuk mengenalpasti identiti mayat tersebut.

“Identiti semua mayat belum dipastikan dan siasatan sedang dijalankan. Semua mayat dihantar ke Hospital Kudat untuk bedah siasat,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AM

*Video sekadar hiasan…

Previous
Next Post »
loading...