loading...

RM3 Caj Pengurusan Bukan Harga Tambang Feri

ALOR SETAR – Tiada kenaikan tambang feri ke Langkawi, sebaliknya hanya caj pengurusan sebanyak RM3 yang dikenakan kepada mereka yang membeli tiket melalui kaunter, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Beliau berkata langkah itu bertujuan menggalakkan orang ramai membeli tiket secara dalam talian yang masih dijual pada kadar sama.

“Oleh kerana peruntukan yang banyak dikeluarkan untuk membangunkan sistem dalam talian ini, satu daripada cara untuk galakkan penggunaannya ialah dengan mengenakan caj pentadbiran kepada orang ramai yang membeli di kaunter,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas isu yang tular di media sosial hari ini mengenai kenaikan harga tiket feri ke Langkawi sebanyak RM3 berkuat kuasa hari ini iaitu RM26 (dewasa) dan RM20 (kanak-kanak) bagi perjalanan dari Kuala Kedah dan RM21 (dewasa) dan RM16 (kanak-kanak) bagi perjalanan dari Kuala Perlis.

Bagaimanapun Tajul berkata beliau telah meminta Jabatan Laut menangguhkan pelaksanaan tersebut buat masa ini bagi memberi ruang kepada beliau mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

“Saya pun hanya dapat maklumat melalui telefon, saya sudah minta Jabatan Laut sekiranya ada hal-hal sensitif seperti ini tak boleh terus laksanakan, kena terangkan kepada kerajaan negeri terlebih dahulu sebab orang akan kata kerajaan negeri yang buat,” katanya yang berharap jabatan berkenaan menghormati cadangannya.

Semakan di laman sesawang syarikat penyedia perkhidmatan feri, Ferry Line Ventures Sdn Bhd mendapati harga tiket masih kekal seperti sebelum ini iaitu RM18 (dewasa) dan RM13 (kanak-kanak) bagi perjalanan dari Kuala Perlis dan RM23 (dewasa) dan RM17 (kanak-kanak) untuk perjalanan dari Kuala Kedah.

Kadar tambang itu disahkan oleh jurucakap syarikat berkenaan yang dihubungi Bernama yang turut menjelaskan RM3 tersebut adalah caj pengurusan yang dikenakan kepada mereka yang membeli tiket di kaunter. – BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...