loading...

Mohd Poad Masuk Wad Emosi Atlet Pecut Negara Terganggu

JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih olahraga negara Zainal Abas mengakui emosi atlet-atlet pecut negara terganggu berikutan jurulatih mereka, Mohd Poad Md Kassim dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah di sini.

Meskipun atlet-atlet berkenaan akan terasa “kehilangan” jurulatih mereka ketika latihan memandangkan keserasian mereka bersamanya, namun mereka perlu memikirkan bahawa perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan itu juga adalah untuk Mohd Poad.

“Kesemua atlet beliau agak murung ketika ini, maknanya mereka turut merasai kesedihan (kerana) keadaan jurulatih yang agak kritikal.

Bagaimanapun, saya ada bercakap dengan Badrul Hisyam (Badrul Hisyam Abdul Manap) yang berada di sini semalam, dia mengatakan latihan akan tetap akan diteruskan dengan perancangan yang telah disiapkan oleh Poad sebelum dia masuk ke HSA,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat Mohd Poad yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSA, di sini, petang ini.

Zainal berkata latihan akan dikendalikan oleh jurulatih di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) untuk membantu dari segi memantau latihan yang dijalankan atlet, yang buat masa kini di fasa persediaan iaitu memerlukan latihan daya ketahanan dan kecergasan untuk dipertingkatkan.

“Badrul, Khairul Hafiz Jantan dan rakan-rakan lain sebelum ini berada di Cameron Highlands dan bila mengetahui keadaan jurulatih, terus mereka datang ke sini melawatnya dan hari ini, mereka telah pulang ke SSTMI untuk meneruskan latihan yang akan bermula esok,” kata Zainal.

Mengulas mengenai keadaan Mohd Poad, beliau berkata keadaan jurulatih pecut negara itu beransur baik dan menunjukkan perkembangan positif sejak semalam.

Menurut doktor yang memantau keadaannya, Mohd Poad memberi respons baik seperti sudah membuka mata dan membuat pergerakan melalui tangannya.

“Bagaimanapun, rawatan perlu diteruskan kerana pada ketika ini, yang penting untuk sembuhkan jangkitan kuman agar beliau dapat pulih sepenuhnya.

Saya harus puji semangat kental yang ada pada Mohd Poad, walaupun dalam keadaan sukar, sebelum saya bergerak keluar, kita boleh nampak dia solat (secara baring), itu satu tanda positif semangat kental itu ada,” kata beliau.

Mohd Poad, 48, dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Sabtu lalu kerana mengalami jangkitan di paru-paru sebelum ditempatkan di ICU. – BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...