loading...

Kroni Mahathir Jadi Pemaju Tanah Felda Digadai?

TERBONGKAR!… Dakwaan bahawa pemilik Synergy Promenade Sdn. Bhd. (Synergy Promenade), ada hubungan rapat dengan keluarga Tun Dr. Mahathir Mohamad, perlu disiasat pihak polis.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi ketika membuat pendedahan itu berkata, siasatan rapi perlu dilakukan apatah lagi jika terdapat unsur hubungan politik antara pihak berkenaan sendiri tanpa diketahui.

Synergy Promenade merupakan syarikat yang terbabit dalam isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak di ibu negara untuk pembangunan projek mewah Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Mohd. Puad berkata, pihak terbabit penukaran hak milik tanah Felda di Jalan Semarak dan kewujudan unsur penipuan seperti didakwa Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad, perlu dikenakan tindakan undang-undang.

“Pendedahan itu juga secara tidak langsung menafikan dakwaan liar oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan) bahawa konon warga asing mendapat hak pemilikan ke atas tanah Felda.

“Dakwaan Khairuddin ini hanya dibuat berdasarkan andaian nombor kad pengenalan dua beradik berkenaan (Noraini Soltan dan Abd Rahman Soltan), yang ada angka 71, sehingga satu laporan polis dibuat oleh beliau.

“Walhal, ramai tokoh PKR seperti (Presiden PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, (Setiausaha Agung PKR) Datuk Saifuddin Nasution dan (Ahli Parlimen Ampang) Zuraida Kamaruddin, juga ada angka 71,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan blogger, Lim Sian See, yang dibuat menerusi akaun Facebook miliknya, bahawa pemilik Synergy Promenade, Noraini dan Abd Rahman, mempunyai hubungan baik dengan keluarga Mahathir.

Sian See mendakwa bahawa Noraini merupakan usahawan berjaya yang menerima pembiayaan dan latihan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB), untuk membangunkan syarikat Spiro Plastics pada 1992 lepas.

Ketika itu, Pengerusi PNB ialah Tun Ismail Mohd Ali, yang juga abang ipar Mahathir, Pengerusi Pakatan Harapan yang belum didaftarkan sah. Ismail kebetulan juga abang kepada isteri Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

“Dengan bantuan PNB, syarikat itu berkembang maju menjadikan Noraini dikenali sebagai vendor Proton, malah beliau sering berperanan sebagai pengerusi penganjur beberapa Persatuan Vendor Proton (PVA),” dakwanya.

Mahathir, 92, juga didakwa rapat dengan PVA termasuk menghadiri program mereka dan kerap membincangkan isu persatuan tersebut, malah anak beliau sendiri, Datuk Seri Mukhriz juga didakwa ada kaitan dengan Noraini.

Justeru, Mohd. Puad berkata, pihak pembangkang tidak seharusnya cuba mempolitikkan isu tanah Felda berkenaan konon cuba digadai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pihak luar kerana ia tiada kaitan pun.

“Apa yang penting, Perdana Menteri sendiri sudah mengarahkan audit forensik dibuat terhadap kes berkenaan,” katanya yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Previous
Next Post »
loading...