loading...

Wahid Omar Puji Myvi Baharu

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar, menjadi pelanggan pertama menerima Perodua Myvi serba baharu, yang telah mendapat pujian bakal pembeli kerana ciri-ciri yang hebat dan harganya yang menarik.

Kereta itu diserahkan kepada beliau pada Jumaat, sehari selepas Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan kereta kompak itu.

Dalam temu bual bertulis bersama Bernama, Abdul Wahid menjelaskan apa yang telah mencetuskan minatnya terhadap Myvi baharu itu.

Berikut adalah petikan daripada temu bual tersebut:

Soalan: Anda boleh membeli kereta yang lebih mahal. Apa yang membuat anda membuat keputusan untuk memiliki Myvi baharu ini dan varian mana yang anda pilih?
Abdul Wahid: Saya sudah mempunyai kereta premium dan Proton Perdana untuk kegunaan rasmi. Kami mencari kereta utiliti untuk keluarga dan mendapat tahu mengenai Perodua Myvi baharu ini.
Jadi saya segera menghubungi Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, dan membuat tempahan pertama. Kami membeli varian 1.5 Advance.

Soalan: Apa yang menarik perhatian anda tentang kereta itu?
Abdul Wahid: Myvi sudah mempunyai reputasi sebagai kereta yang boleh dipercayai. Jadi apabila saya diberitahu Myvi baharu lebih baik, direka dengan ciri-ciri canggih yang biasanya dikaitkan dengan kereta premium, saya tidak teragak-agak untuk membeli.
Penarafan keselamatan lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara juga merupakan faktor utama.

Soalan: Siapa yang akan menggunakan kereta baharu itu?
Abdul Wahid: Terutamanya isteri saya, tetapi saya juga berharap untuk memandu di kawasan kejiranan kami di Cyberjaya dan Putrajaya pada hujung minggu.

Soalan: Warna apa yang anda pilih?
Abdul Wahid: Kelabu granit. Itu yang paling hampir dengan hitam, warna kegemaran saya.

Soalan: Bilakah anda menempah Myvi itu dan mengambilnya?
Abdul Wahid: Saya membuat tempahan sebaik sahaja saya diberitahu mereka melancarkan Myvi baharu. Kereta itu dihantar kepada saya di pejabat Sime Darby Property Bhd di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada pagi Jumaat (17 Nov).

Soalan: Nombor plat ‘WA4ID’ seperti ejaan nama anda. Adakah ini kali pertama anda mempunyai nombor pendaftaran sedemikian?
Abdul Wahid: Saya mengemukakan tender bagi nombor WA41D sebelum ini tetapi menunggu kereta yang sesuai untuk menggunakan nombor itu. Saya gembira dapat menggunakannya bagi Perodua, kereta nasional.

Soalan: Jadi, bagaimana penilaian selepas memandu kereta itu?
Abdul Wahid: Baik bagi kereta kecil. Keretanya menarik dengan pemanduan yang lancar.

Soalan: Adakah anda berpuas hati dengan kualiti kereta tersebutt? Adakah ia bagus?
Abdul Wahid: Ya, memang bagus. Terutamanya bagi kereta yang dibina di Serendah, Selangor dan dikuasakan oleh enjin yang dihasilkan di Sendayan, Negeri Sembilan.

Soalan: Bolehkah anda mengulas mengenai prestasi Perodua secara umum dan berkongsi harapan anda untuk syarikat itu?
Abdul Wahid: Sungguh mengagumkan untuk melihat Perodua meningkat menjadi pengeluar kereta nombor satu Malaysia dan kekal pada kedudukan utama itu selama ini.

Pujian harus diberikan kepada pasukan Malaysia, yang disokong oleh pemegang saham Jepun Daihatsu Motor Co Ltd, Toyota Motor Corp dan Mitsui & Co Ltd.

Memandangkan Perodua adalah syarikat penerima pelaburan langsung PNB dan melalui UMW Holdings, rakyat Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian mereka. Kami berharap Perodua akan terus menerajui dalam membangunkan kereta baru untuk pasaran Malaysia serta mengembangkan pasaran eksportnya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...