loading...

UPKO Desak Warisan Hentikan Politik Pecah-Belah

KOTA KINABALU – Pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) ditegur kerana menggunakan taktik menakut-nakutkan dan politik pecah-belah serta secara tidak bertanggungjawab mempergunakan agama untuk memancing sokongan rakyat.

Setiausaha Agung UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin mendakwa Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggunakan taktik menakut-nakutkan untuk menyemarakkan sentimen keagamaan dalam kalangan penganut Kristian di Sabah.

Beliau mengumpamakan pengumuman Shafie yang membenarkan penganut Kristian menggunakan perkataan ‘Allah’, sekiranya Warisan berkuasa, seperti jurujual menjual barangan terpakai.

“Kerajaan yang memerintah pada ketika ini sentiasa mendukung kebebasan beragama, membenarkan kita (penganut Kristian) mengamalkan agama kita mengikut kesesuaian kita di gereja-gereja kita selama ini. Ia bukan satu isu,” katanya.

Beliau menegaskan UPKO berpegang teguh pada pendiriannya berhubung pengggunaan terma (Allah) itu, dan menurutnya parti sentiasa mempertahankan hak penganut Kristian untuk menggunakannya.

“Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) juga mempunyai pendirian konsisten dalam isu itu. Sebenarnya pemimpin BN negeri Sabah termasuk daripada UMNO telah secara terbuka menyatakan penggunaan terma ‘Allah’ oleh komuniti Kristian bukan merupakan satu isu di Sabah,” katanya.

Donald berkata, Shafie dan pemimpin lain Warisan menggunakan propaganda politik tidak wajar untuk memperlekehkan usaha UPKO dan memperdayakan rakyat untuk mempercayai bahawa parti itu tidak ambil peduli akan perkara yang dekat di hati mereka.

“Presiden UPKO sebelum ini Tan Sri Bernard Dompok dan presiden sekarang Datuk Seri Madius Tan
gau sentiasa memperjuangkan kebebasan beragama semasa dalam Kabinet Persekutuan dan menerusi media,” tegasnya.

Donald mempersoalkan motif Shafie membangkitkan isu itu sekarang semasa beliau menjadi pembangkang.

“Negara tidak pernah mendengar apa-apa komen daripadanya semasa beliau berada dalam kerajaan,” katanya dan menurutnya rakyat perlu berhati-hati dengan corak politik pecah-belah dan bahaya dibawa Shafie dan Warisan.

Katanya kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman telah memperuntukkan berjuta-juta Ringgit setiap tahun untuk sekolah vernakular Cina dan Mubaligh serta organisasi bukan Islam termasuk gereja dan tokong. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...