loading...

Upacara Meruncingkan Gigi Wanita Suku Mentawai Yang Menyakitkan

Kecantikan adalah subjektif yang bergantung kepada zaman dan budaya masyarakat. Kalau di sini dianggap cantik, mungkin di seberang sana dianggap hodoh. Gigi putih yang rata secara umum dianggap cantik oleh hampir seluruh masyarakat dunia.

Tetapi bagi penduduk asli pulau Mentawai Indonesia yang juga dikenali sebagai bangsa Sekerei, kecantikan wanita tidak sempurna kalau tidak memiliki bentuk gigi yang tajam berbentuk segitiga seperti gigi ikan pirana. Oleh itu mereka perlu melakukan upacara khas yang ringkas untuk meruncingkan gigi.

Menurut mereka upacara khas ini bukan sekadar untuk kelihatan cantik. Ia juga bersifat spiritual. Keseimbangan roh dan jasad tidak akan tercapai selagi seseorang itu tidak menjalankan upacara ini.

Untuk membentuk gigi setajam gigi pirana, mereka cuma menggunakan dua alat, iaitu pisau atau pahat yang sangat tajam, dan penukul. Lebih mengerikan tidak ada ubat penahan sakit diberikan. Satu-satunya cara mengurangkan sedikit kesakitan ialah disuruh menggigit pisang mentah selepas gigi dipahat sehingga menjadi tajam.

Pilongi iaitu isteri ketua kampung di pulau berkenaan tidak pernah melakukan upacara ini. Sepatutnya sejak usia meningkat remaja, wanita mentawai harus melalui proses yang menyakitkan ini.

Oleh kerana suaminya mahu dia kelihatan cantik, akhirnya Pilongi rela melakukannya. Sebagai ketua kampung, suaminya perlu mempunyai isteri yang cantik untuk mengekalkan status terhormatnya dalam kalangan orang kampung.

“Saya suruh dia melakukannya supaya dia kelihatan lebih cantik,” ujar suaminya.

Upacara memahat gigi dilakukan dalam rumah komunal kampung disaksikan oleh beberapa orang penduduk setempat. Seorang lelaki yang bertugas melakukan upacara itu telah menajamkan pahatnya. Pahat yang tajam akan mengurangkan rasa sakit dan kerja dapat dilakukan lebih cepat.

Selepas upacara berakhir, Pilongi disuruh menggigit pisang mentah untuk mengurangkan rasa sakit. Dia kelihatan gembira kerana semuanya berjalan dengan lancar walaupun melalui proses yang menyakitkan.

“Sekarang gigi saya sudah tajam, saya kelihatan lebih cantik di mata suami. Jadi dia tidak akan tinggalkan saya” katanya dalam nada gembira.

Tetapi lain pula kata suaminya. “Mungkin apabila dia sudah bosan dengan saya, dia akan mencari suami baru, maklumlah dia sudah cantik,” ujarnya bergurau.

Bagi masyarakat mentawai, ia bukan sekadar kecantikan isteri ketua mereka. Apa yang lebih penting ialah roh dan jasad Pilongi telah mencapai keseimbangan.

Comments

comments

Previous
Next Post »
loading...