loading...

KPKT Sedia Kaji Isu Lambakan Hartanah

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar (KPKT) bersedia mengkaji isu lambakan hartanah khususnya unit kediaman yang tidak terjual bagi mencari penyelesaian kepada masalah berkenaan.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata langkah tersebut dilihat dapat mengenal pasti isu-isu berkaitan perumahan termasuk ketidaksepadanan penawaran dan permintaan rumah mengikut pasaran.

“Kementerian sedia mengkaji isu ini dengan semua pihak seperti Pusat Maklumat Hartanah Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Wilayah Persekutuan, Bank Negara dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata kira-kira 83 peratus unit rumah yang tidak terjual adalah rumah berharga RM250,000 hingga melebihi RM1 juta dan kebanyakannya adalah rumah bertingkat strata berharga melebihi RM250,000.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan cadangan agar pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarelawan yang ketika ini di bawah bidang kuasa Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), didaftarkan di bawah KPKT bagi memudahkan pertubuhan itu dikawal selia.

Katanya kementerian tidak bercadang untuk mengambil alih aset pertubuhan sukarelawan tersebut.

“Isu ini sudah disalah tafsir oleh pihak-pihak tertentu. Bukan kita nak ambil aset mereka. Hanya pendaftaran sahaja, sama sahaja sekarang ini mereka berdaftar dengan RoS. Mereka masih mempunyai kebebasan seperti hari ini untuk menjalankan aktiviti.

“Kita akan dapat memperkukuhkan pentadbiran kawal selia pasukan bomba ini. Lebih mudah untuk kita memastikan pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarelawan menjalankan program-program mereka seperti yang dirancang,” katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata antara cabaran yang dihadapi kementerian tersebut dalam usaha mewujudkan lebih banyak balai bomba di seluruh negara ialah mendapatkan tapak kerana terdapat kerajaan negeri yang mengenakan premium yang tinggi seperti di Selangor.

“Harga lebih mahal daripada pembangunan (balai bomba). Kita buat untuk kepentingan rakyat tetapi Selangor ambil kesempatan. Harga premium yang dikenakan tinggi ibarat lebih mahal tali daripada lembu,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...