loading...

Kenaikan Harga Sayur Bersifat Sementara – FAMA

BUTTERWORTH – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bahawa bekalan sayuran jenis berdaun di negeri-negeri dilanda banjir awal bulan ini seperti Pulau Pinang, Kedah tidak akan terputus.

Malah, pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata masyarakat tidak perlu bimbang dengan kenaikan harga sayuran jenis berdaun kerana pihaknya sentiasa mempunyai bekalan tersebut dan ia akan dihantar segera ke gerai-gerai FAMA di kawasan yang terjejas bagi mengelak bekalan terputus.

“Harga sayuran jenis berdaun seperti sawi, bayam dan sebagainya yang didakwa meningkat sebanyak 30 peratus akibat kawasan penanaman yang ditenggelami air hanya bersifat sementara.

“Ia dijangka akan kembali ke paras asal dalam sebulan, bergantung kepada keadaan cuaca di kawasan utara tanahair,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 23 petugas FAMA yang terjejas teruk akibat banjir di Pulau Pinang dan Kedah, di sini hari ini.

Katanya, bantuan sebanyak RM500 seorang itu diagih kepada 13 anggota pencarum Tabung Bencana FAMA manakala RM400 setiap seorang kepada 10 anggota bukan pencarum Tabung Bencana FAMA yang terjejas di sekitar Bukit Mertajam, Sungai Dua di sini dan Kulim di Kedah.

“Bantuan itu dalam bentuk kewangan dan barang-barang keperluan dapur dengan harapan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang terpaksa ditanggung kakitangan terlibat,” katanya.

Selain itu, FAMA turut membantu 26 peserta di bawah Program Ladang Kontrak yang tanaman dan ladang mereka turut terjejas akibat banjir melibatkan anggaran kemusnahan sebanyak RM62,500.

Tanaman yang diusahakan oleh peserta di bawah program itu yang dilaporkan terjejas teruk ialah tanaman jagung, labu, timun, peria, bendi, limau kasturi, dan cili dengan majoritinya di kawasan Seberang Perai Tengah. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...