loading...

ETS Tawar Koc Kelas Bisnes Mulai Tahun Depan

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memberikan pilihan keselesaan kepada pengguna, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bakal menawarkan koc kelas perniagaan bermula tahun hadapan.

Berita gembira itu disahkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kapri yang berkata setiap satu daripada enam koc ETS akan dinaik taraf kepada kelas perniagaan manakala baki akan kekal seperti biasa.

“Koc khas tersebut hanya mempunyai 36 tempat duduk yang lebih selesa dan luas untuk bergerak. Penumpang juga dapat menonton tayangan video di skrin yang disediakan pada setiap kerusi mereka,” kata beliau

Ab. Aziz yang juga Ahli Parlimen BN Sri Gading berkata demikian ketika sesi penggulungan Bajet 2018 bagi Kementerian Pengangkutan untuk bacaan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu, beliau menjelaskan pembelian sembilan set gerabak ETS yang diluluskan pada pembentangan Bajet 2016 lalu dijangka dapat diterima pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 2018 depan.

Selain kemudahan kafeteria, televisyen serta bilik solat, tren elektrik baharu itu juga dilengkapi perkhidmatan wifi percuma kepada kesemua penumpang untuk mengakses Internet sementara sampai ke destinasi yang dituju.

“Di samping itu, KTMB bakal membuat pembaharuan pada sistem pembelian tiket ETS yang akan diperkenalkan kepada pengguna pengangkutan rel antara bandar tersebut dalam masa dua minggu lagi,” jelas Ab. Aziz.

Secara purata, seramai 7,000 orang menggunakan perkhidmatan ETS setiap hari iaitu pada hari biasa, manakala pada hujung minggu serta cuti umum pula jumlah itu boleh meningkat sekali ganda kepada 14,000 orang.

ETS, yang merupakan perkhidmatan kereta api ekspres antara bandar; dilancarkan sejak 2010 hanya melibatkan 44 buah stesen utama di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan penggunaan 15 set tren jenis Class 93 dan 91.

Ia menawarkan 40 perjalanan bagi laluan Gemas-Padang Besar. Setiap tren ada enam gerabak boleh memuatkan sehingga 350 penumpang pada satu-satu masa, dan itu pun masih tidak dapat memenuhi permintaan semasa.

Dengan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam, jumlah penumpang ini dijangka bertambah apabila projek landasan berkembar elektrik antara Gemas dan Johor Bahru siap pada 2020. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...