loading...

Empat Beranak Ditemui Mati Dalam Rumah Di Sg Petani

SUNGAI PETANI – Seorang bapa dan tiga anaknya ditemui mati di dalam bilik di sebuah rumah di Lot 88 Perdana Heights di sini, hari ini.

Lelaki berumur 48 tahun dan dua anak lelakinya yang berusia lima dan enam tahun serta anak perempuannya yang berumur lapan tahun ditemui mati pada 2 petang tadi, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Farid Al-Athrash Wahid.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati lelaki itu dipercayai menggantungkan diri selepas membunuh tiga anaknya dengan kemungkinan cara menekup muka mereka dengan bantal.

“Kami percaya sebelum lelaki ini gantung dirinya, dia bunuh tiga anaknya dahulu…kami percaya kemungkinan dengan cara tekup muka anak-anak dengan bantal,” katanya.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah kewangan yang dialami keluarga terbabit.

Mior Farid berkata setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, anak sulung mangsa daripada perkahwinan pertamanya berkata dua hari lepas, dia dan adik perempuannya yang berumur 19 tahun berjumpa dengan bapanya.

Pemuda berumur 20 tahun itu berkata pada pertemuan itu, bapanya ada memberitahu yang dia berasa sedih.

“Saya tidak tahu sebab ayah sedih. Saya difahamkan kesemua adik juga sudah seminggu tidak ke sekolah selepas ibu mereka meninggal dunia 20 hari lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...