loading...

Bekas Jurulatih Negara Kini Bimbing PKNS

SHAH ALAM – Ketua jurulatih baharu kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Datuk K. Rajagobal berikrar membantu pasukan berstatus kelab berkenaan mencapai keputusan lebih baik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

Bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu yang sah dilantik ke jawatan berkenaan selama setahun, berkata beliau akan menggunakan pengalaman dimilikinya membantu pasukan berpangkalan di Kelana Jaya itu untuk sekurang-kurangnya memperbaiki kedudukan ketujuh dicatat dalam saingan Liga Super musim ini.

“Ini masa yang sesuai untuk saya kembali berbakti kepada bekas majikan dan tanpa berfikir panjang, saya bersetuju menerima tawaran menjadi jurulatih pasukan ini yang pernah saya bimbing (dari 1990-1998).

“Kita kena bersikap realistik kerana berada pada kedudukan ketujuh Liga Super musim ini, jadi saya mahu lebih baik daripada itu dan kalau boleh, kita beri saingan lebih sengit supaya lebih dihormati pihak lawan,” kata Rajagobal pada sidang media di ibu pejabat PKNS di sini, hari ini.

Mengulas mengenai barisan pemain musim 2018, Rajagobal menegaskan beliau masih mencari pemain yang mampu memberi sumbangan positif kepada pasukan berkenaan namun tidak menafikan sedang mengintai beberapa pemain muda.

Media sebelum ini melaporkan bekas penyerang Pulau Pinang, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew dan bekas pemain Pahang, Nurridzuan Abu Hassan dikatakan sudah bersetuju untuk menyertai PKNS FC bagi musim depan.

“Saya akan berbincang dengan staf kejurulatihan lain mengenai posisi yang perlu diperkuatkan bagi memberi saingan kepada pasukan lain.

“Kita sudah ada senarai nama pemain tempatan cuma mungkin kita akan adakan ujian khas untuk menilai prestasi pemain import yang kita akan bawa masuk,” jelas Rajagobal yang pernah membimbing beberapa pasukan tempatan sebelum ini seperti Selangor, Kelantan dan Sarawak.

Dalam pada itu, Presiden PKNS FC Siti Zubaidah Abd Jabar yakin pengalaman luas yang dimiliki anak jati Selangor itu mampu mengubah prestasi hambar yang dicatat skuad Semut Merah dalam saingan Liga Malaysia, musim ini.

PKNS FC tersingkir pada pusingan kedua Piala FA selain gagal melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2017. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...