loading...

Ayu Damit Tukar Pembantu Rumah 16 Kali Setahun!

ayu damit tukar pembantu rumah 16 kali dalam setahun

Kredit foto: Instagram Ayu Damit

Mantan juara One In A Million musim kedua, penyanyi Ayu Damit mengaku sudah bertukar pembantu rumah sebanyak 16 kali dalam setahun!

Ayu, 29, memberitahu, empat pembantu rumahnya bertindak melarikan diri, manakala yang lain memohon agar dipulangkan semula kepada ejen pembantu rumah.

"Kali terakhir saya mempunyai seorang pembantu rumah adalah pada September lalu. Paling lama bertahan adalah selama empat bulan manakala paling singkat cuma sehari sahaja.

"Saya rasa mungkin pembantu rumah tidak tahan dengan tugas mereka untuk menjaga anak-anak saya. Biasalah, kanak-kanak yang sedang membesar memang agak lasak, mungkin atas sebab itu mereka tidak tahan dan memilih untuk berhenti," katanya yang dipetik daripada portal Astro Gempak.

Penyanyi kelahiran Putatan, Sabah itu bagaimanapun bersyukur kerana tidak pernah didatangkan pembantu rumah yang 'panjang tangan' atau berbuat perkara yang tidak elok.

"Alhamdulillah, apa yang saya sangat syukuri, mereka tidak mencuri atau membuat sesuatu perkara yang tidak baik terhadap anak-anak saya.

"Paling teruk pun, ada yang menyelongkar bilik saya untuk untuk mengambil pasport miliknya semula. Saya menyediakan semua kelengkapan dan keselesaan tetapi masih ada yang benar-benar serasi dengan keluarga saya," katanya.

Berhadapan situasi malang itu tidak mematahkan tekad Ayu untuk mendapatkan pembantu rumah baru.

"Saya tidak serik mencari kerana pasti ada pembantu rumah yang akan serasi dengan keluarga saya nanti. Saya berharap agar bertemu dengan pembantu rumah berdisiplin dan mahu bekerja dengan bersungguh-sungguh. Buat masa ini, saya hantar anak-anak ke taska dahulu," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, penyanyi ini sudah selesai menjalani proses rakaman dua lagu baharunya, Pelengkap Hati dan Cinta Pertama.

Ayu merupakan penyanyi kelahiran rancangan realiti One In A Million yang pernah meledak dengan beberapa lagu popular, antaranya Hanya Di Mercu, Ku Memiliki Abadi dan Inspirasi Abadi.

Sumber berita: Astro Gempak
Previous
Next Post »
loading...