loading...

2 Nelayan Terengganu Dibebaskan Pihak Berkuasa Indonesia

KUALA NERUS – Dua lagi daripada lima nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Pulau Terempa atas dakwaan menceroboh perairan negara itu sejak April lalu, selamat tiba di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, lewat petang tadi.

Ketibaan Mohd Firdaus Mohamad, 27, dan Mohd Zaidi Mohammad, 23, disambut dengan pelukan anggota keluarga dan sahabat handai yang sabar menunggu kepulangan mereka setelah ditahan di penjara pulau itu kira-kira tujuh bulan lalu.

Mohd Firdaus, berasal dari Kuantan, Pahang, ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata banyak dugaan yang ditempuhi ketika berada dalam tahanan antaranya terpaksa bergantung belas ehsan penduduk kampung untuk menghubungi keluarga di tanah air.

“Makan juga susah..tak boleh nak bermewah sangat. Serik dah rasanya menempuhi pengalaman ditahan di penjara, rasanya saya ambil masa juga untuk turun semula ke laut,” katanya.

Mengimbas semula kejadian ketika ditangkap pihak berkuasa Indonesia, Mohd Firdaus berkata mereka didatangi kapal peronda tentera laut negara jiran ketika sedang menangkap ikan.

“Seingat saya tekong memberitahu kami masih lagi dalam kawasan perairan Malaysia. Sebab tu ketika itu kami ingatkan kapal berkenaan adalah kapal tentera kita (Tentera Laut Diraja Malaysia).

“Tapi bila dia himpit tu terus tenteranya mengarahkan kami naik ke kapal mereka selepas bertanyakan sama ada kami dari Malaysia. Kami mula mengenang apakah nasib kami selepas ini…mula-mula tu ingat dah tak boleh balik dah dan ketika itu saya paling teringat isteri saya lah,” katanya.

Terdahulu isteri beliau, Nur Rasmaniza Erna Abd Rashir, 21, mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif yang berusaha berunding dengan pihak berkuasa Indonesia bagi pembebasan suami dan rakan-rakan.

“Bersyukur suami akhirnya dibebaskan selepas lebih tujuh bulan atas usaha Menteri Besar, sebab dah lama tak jumpa suami, hari ini rasa gugup sikit nak jumpa,” katanya yang sudah dua tahun mendirikan rumah tangga bersama Mohd Firdaus.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, walaupun ini pengalaman pertama ditahan di penjara, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus bergelar nelayan.

“Tapi mungkin saya ambil masa untuk kembali ke laut sebab trauma ditahan itu masih ada. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Razif yang banyak membantu kami sepanjang berada di dalam tahanan dan berusaha untuk membebaskan kami,” katanya yang berasal dari Kampung Seberang Takir, di sini.

Media sebelum ini melaporkan lima nelayan Terengganu, termasuk tekong, Abd Rashid Nik, 52, ditahan selepas didakwa menceroboh perairan Indonesia ketika sedang menangkap ikan.

Sebelum ini, dua daripada mereka iaitu Fadli Jaafar, 41, dan Abdul Halim Nik, 43, telah dibebaskan pada bulan Mei lepas, diikuti Mohd Firdaus dan Mohd Zaidi manakala Abd Rashid Nik masih ditahan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...