loading...

Mercy Mahu Kumpul RM5j Bantu Pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR – MERCY Malaysia mahu mengumpul RM5 juta bagi membantu pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh dan RM1 juta bagi membantu penduduk Islam di Utara Rakhine, Myanmar.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata mereka kebimbangan utama mereka ialah berlaku wabak penyakit ekoran keadaan persekitaran yang padat dengan penduduk yang melarikan diri.

“Kami merayu setiap orang untuk menyumbang bagi menjadikan kehidupan di Cox’s Bazar lebih baik,” kata Dr Ahmad Faizal dalam satu kenyataan.
Sumbangan boleh dibuat kepada ‘Rohingya Relief Fund’ MERCY Malaysia di www.mercy.org.my.

Beliau berkata keperluan yang mendesak di sana ketika ini ialah perkhidmatan kesihatan dengan MERCY Malaysia telah menyediakan bantuan di klinik kesihatan di kem Thangkhali dan Balukhali sejak penghujung bulan lepas.

“Pegawai perubatan kami di klinik di Thangkhali merawat 100 pesakit setiap hari sementara di kem Balukhali kira-kira pesakit 300 sehari.

“Sehingga kini hampir 7,000 pesakit dirawat kerana cirit birit, sakit kepala, demam atau jangkitan, masalah kulit dan radang perut,” katanya.

Dr Ahmad Faizal berkata MERCY Malaysia juga dalam proses mewujudkan ruang mesra kanak-kanak pelarian di bawah umur 17 tahun yang mengalami kesan tekanan di Myanmar.

Beliau berkata pihaknya akan memfokus kepada pusat kesihatan di kawasan Sambungan Kutupalong Blok D yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan.

“Turut dirancang ialah sistem klinikal yang sempurna dan sistem rujukan bagi merujuk pesakit dengan keadaan kronik ke pusat rujukan seperti Hospital Besar Cox’s Bazar,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...