loading...

Siapa Sangka Yuran Kursus RM10 Boleh Bawa Pendapatan Bulanan RM5000

kolej komuniti pastri

Melihat lambakan kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan oleh individu-individu persendirian yang mengenakan yuran kemasukan yang mahal, kerap menimbulkan persoalan mengapa kursus kemahiran jangka pendek yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti kelolaan Kerajaan kurang mendapat pendedahan lebih besar.

Dengan faktor yuran yang cukup murah dan fasiliti yang lengkap serta pilihan kursus yang banyak dianjurkan setiap bulan, bergantung kepada kalendar Kolej Komuniti masing-masing, tawaran kursus jangka pendek yang ada sebenarnya setara dengan pelbagai lagi kursus yang dianjur pihak persendirian yang tidak bertauliah atau pihak swasta, yang mengenakan yuran tinggi.

Perkara ini dibuktikan sendiri menerusi pelbagai kisah kejayaan beberapa orang alumni Kolej Komuniti yang telah membuka pelbagai perniagaan sendiri dengan yuran kursus yang cukup minima.

kolej komuniti binaan

Dengan yuran sangat minima - kursus jangka pendek hanya dikenakan bayaran RM5 untuk tempoh setengah hari; kursus sehari pada kadar RM10 dan kursus dua hari dikenakan bayaran RM20; peluang untuk menimba kemahiran baru yang dapat membuka peluang rezeki sepatutnya diambil oleh orang ramai, khasnya golongan sasar Kolej Komuniti iaitu suri rumah dan pelajar-pelajar yang tidak berjaya menyambung pendidikan.

Walaupun golongan sasar Kolej Komuniti ini memfokuskan pada dua golongan tersebut, sebenarnya tidak ada syarat kelayakan untuk sesiapa pun menyertai kursus jangka pendek yang ada. Asalkan kita minat hendak mempelajari sesuatu kemahiran baru ataupun mahu mempertajamkan kemahiran yang ada, itu sudah memadai.

Setakat ini dilaporkan alumni yang berjaya, telah berjaya menambahkan jumlah pendapatan di antara RM1000 ke RM5000 sebulan. Bidang kemahiran bukanlah satu bidang yang memerlukan kos yang besar untuk dimulakan, cukup dengan ilmu menghasilkan sesuatu dan masa yang cukup untuk menyiapkannya, jadi bentuk perniagaan juga dapat dimulakan dengan lebih pantas.

kolej komuniti grafik kursus

Terdapat banyak pilihan kursus jangka pendek yang ditawarkan merangkumi pelbagai cabang kemahiran, antara yang paling popular adalah asas kulinari, asas pastri, perniagaan, animasi, fotografi, fesyen, seni jahitan, servis kenderaan, kecantikan dan pelbagai lagi bidang yang sebenarnya mempunyai prospek perniagaan yang cukup luas dalam masyarakat setempat.

Antara alumni kursus jangka pendek yang telah berjaya adalah Encik Asyraf Hassan, seorang peserta kursus jangka pendek pembuatan kek di Kolej Komuniti Ledang yang kini mengusahakan jenama Roti Temerloh. Selain itu ibu kepada dua orang anak bernama Puan Rosnah binti Mat yang menetap di Kepala Batas juga wajar dianggap kejayaan besar.

Beliau yang selama ini berminat dengan bidang jahitan, tidak pernah mencubanya secara serius kerana hanya mampu menjahit baju kurung. Selepas mengikuti kursus pendek jahitan pakaian, beliau menggabungkan kemahiran beliau sedia ada iaitu menjahit baju kurung lalu membuka perniagaan kecil-kecilan di kampung, menawarkan perkhidmatan jahitan untuk pelbagai jenis baju.

Pendapatan tetap beliau dianggarkan mencecah lebih RM1000 bergantung kepada musim dan mampu mencecah RM2500 pada musim raya. Harus diingatkan, dia mengambil upah menjahit yang agak rendah berbanding tukang jahit lain.

kolej komuniti jahitan telekung

Apabila dibandingkan di antara apa yang ditawarkan menerusi Kolej Komuniti, jelaslah kursusnya boleh dikatakan sebagai antara yang paling berbaloi kerana kemahiran yang ditawarkan berguna bukan mengikut trend semasa - tetapi adalah kemahiran-kemahiran yang berkemungkinan relevan sepanjang masa.

Dengan yuran serendah RM5 dan prospek perniagaan yang luas, masyarakat sepatutnya membuka mata untuk cuba menyertai kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan kerana ini bukan setakat menjimatkan kos, malahan akan memberi manfaat jangka panjang pada kita.

Nak belajar buat sabun sendiri pun boleh.

Yurannya cuma RM10. Murah kan?

Previous
Next Post »
loading...