loading...

Pemuda UMNO Akan Bekerjasama Dengan PDRM Banteras Dadah

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencari cara terbaik bagi menangani isu dadah dalam kalangan remaja di daerah Titiwangsa dalam masa terdekat.

Ketua Pemuda Bahagian Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata pihaknya akan berbincang dengan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif bagaimana untuk menggerakkan anggota Pemuda UMNO untuk membantu polis membanteras aktiviti penagihan dadah di kawasan masing-masing.

“Ahli Pemuda UMNO ada di merata tempat dan di mana-mana sahaja jadi saya berharap kami dapat membantu polis untuk mencegah dan mengatasi aktiviti penagihan dadah khususnya melibatkan remaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Bendahari Datuk Mohd Nizar Najib menyerahkan wang sumbangan sebanyak RM45,670 kepada Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) Datuk Keramat, Muhammad Zahid Mahmod untuk disumbangkan kepada keluarga mangsa kebakaran tahfiz itu.

Wang sumbangan itu merupakan hasil kutipan Tabung Pemuda Prihatin yang dilancarkan sejak Khamis.

Pada Khamis lepas, seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden di pusat tahfiz berkenaan terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat tiga terbakar dalam kejadian pada 5.15 pagi.

Siasatan polis kemudian mendapati wujud unsur khianat dengan niat membakar dalam insiden berkenaan dan ekoran itu, polis menahan tujuh remaja, enam daripada mereka positif dadah, untuk membabntu siasatan.

Dalam pada itu, pusat tahfiz berkenaan terus menerima sumbangan daripada warga prihatin termasuk Pertubuhan Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) yang turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM47,000 yang berjaya dikumpul dalam masa lima hari bagi membantu keluarga mangsa dan pusat tahfiz tersebut.

Presidennya, Zulkifli Wajihan berkata pertubuhan itu juga sedang mengumpul dana daripada orang awam supaya dapat membeli alat pemadam api untuk diagihkan kepada pusat-pusat tahfiz terpilih. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...