loading...

Para ASEAN 2017 Ditutup, Malaysia Naib Juara

KUALA LUMPUR – Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 kali kesembilan bertemakan ‘Bangkit Bersama’ ditutup secara rasmi dalam majlis penuh gilang gemilang dan penuh bermakna.

Malaysia sebagai tuan rumah menamatkan saingan di tempat kedua dengan kutipan 90 pingat emas, 85 perak dan 83 gangsa manakala juara keseluruhan sah menjadi milik Indonesia dengan 126 emas, 75 perak dan 50 gangsa.

Tempat ketiga pula ialah Thailand. Kedudukan kali ini lebih baik berbanding ketika temasya sama di Singapura dua tahun lalu apabila kontinjen negara berada di tempat ketiga dengan hanya meraih 52 emas 58 perak dan 37 gangsa.

Malaysia ketika edisi kali kelapan itu di belakang Thailand selaku juara apabila mengumpul 95 emas, 76 perak dan 79 gangsa sementara Indonesia pula naib juara dengan kutipan 81 emas, 74 perak dan 63 gangsa.

Upacara penutupan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Sabtu bermula dengan majlis mengalu-alukan tetamu jemputan serta ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis kemudian disambung dengan nyanyian lagu Negaraku dan pengumuman perarakan masuk kontinjen 11 negara yang mengambil bahagian serta bendera Persekutuan Sukan Para ASEAN dan bendera edisi kesembilan.

Saat paling dinantikan ramai penonton ialah ketika maskot rasmi Kuala Lumpur 2017 dikenali sebagai RIMAU berarak masuk mengetuai barisan atlet para yang mengambil bahagian pada temasya edisi kali ini.

Seterusnya majlis memberi penghormatan kepada Presiden Majlis Paralimpik Malaysia yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Persekutuan Sukan Para ASEAN, SM Nasaruddin SM Nasimuddin menyampaikan ucapan.

Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN, Mejar Jeneral Osoth Bhavilai turut menyampaikan ucapannya. Ahmad Zahid kemudian berucap ringkas mengisytiharkan Sukan Para ASEAN ke-9 ditutup secara rasmi.

Tumpuan penonton kembali terarah kepada obor temasya – yang melambangkan semangat kesukanan serantau; dipadamkan selepas seminggu dinyalakan sejak majlis perasmian temasya itu pada 17 September lalu.

SM Nasaruddin kemudian menyerahkan bendera kejohanan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum diserahkan pula kepada Osoth yang seterusnya menyerahkan kepada wakil Filipina.

Negara itu diwakili Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina, Michael Barredo selaku tuan rumah temasya pada 2019. Sebaik selesai, lagu kebangsaan Filipina dimainkan selain upacara menaikkan bendera negara berkenaan.

Upacara penutupan dimeriahkan dengan persembahan penuh bertenaga bintang antarabangsa, Yuna yang menyanyikan enam buah lagu iaitu Falling, Best Love, Lights & Camera, Terukir di Bintang, Crush dan Rescue.

Majlis diteruskan dengan persembahan bunga api yang dipancarkan memenuhi stadium dan atlet diiringi keluar padang menandakan majlis penutupan selesai sepenuhnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...