loading...

Negeri Sembilan Tetapan 50% Rumah Mampu Milik

PORT DICKSON – Bagi membantu rakyat untuk memiliki rumah, kerajaan Negeri Sembilan memastikan 50 peratus daripada unit rumah yang akan dibina pemaju mestilah rumah mampu milik dan harganya ditentukan kerajaan negeri , kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata dasar “campur tangan” kerajaan negeri itu bukan sahaja mewajibkan jumlah unit rumah mampu milik mestilah 50 peratus, tetapi juga telah menaikkan kuota Bumiputera daripada 30 peratus kepada 50 peratus.

“30 peratus adalah kuota tetap Bumiputera, tetapi kuota 20 peratus lagi adalah kuota fleksibel. Mereka yang beli kuota 20 peratus ini hanya dapat diskaun lima peratus sahaja… manakala rumah yang tidak boleh dipindah milik kepada bukan Bumiputera akan menikmati diskaun 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan kunci rumah mampu milik Type A Taman Sunggala Hartamas dan majlis penyerahan surat hakmilik Rumah Rakyat Teluk Kemang III di sini, hari ini.

Mohamad berkata ini merupakan satu jaminan kepada rakyat Negeri Sembilan bahawa pada bila-bila masa pun akan ada rumah mampu milik di negeri ini.

Mengenai rumah mampu milik Type A di Taman Sunggala Hartamas yang berharga RM75,000 seunit, beliau berkata ramai yang memohon rumah tersebut, namun setelah disaring cuma 102 orang yang layak untuk memiliki rumah tersebut.

“Ini jelas menunjukkan bahawa permintaan terhadap rumah mampu milik ini adalah banyak. Jadi, saya akan mencadangkan pada mesyuarat Exco Rabu ini supaya peratus rumah mampu milik Type A untuk sesuatu projek perumhanan itu dinaikkan kepada 20 peratus dan kurangkan rumah mampu milik Type C yang berharga RM400,000 ke bawah kepada 15 peratus,” katanya.

Katanya pemaju perumahan tidak rugi apabila membina rumah mampu milik Type A kerana mendapat permintaan umpama ‘pisang goreng panas’.

“Dari segi pengurusan kewangan, daripada buat ‘holding cost’ sebab pemaju juga terpaksa meminjam daripada bank dan setiap hari akan dikenakan faedah… jadi, kalau boleh jual cepat, jadi pemaju perumahan juga boleh memperolehi keuntungan dari segi ‘saving’,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...