loading...

Nama The Red Warriors Akan Diubah Musim Depan

JOHOR BAHRU – Nama The Red Warriors (TRW) bakal terpahat dalam sejarah apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak lagi berhasrat mengekalkannya lagi bagi saingan musim hadapan.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, penukaran gelaran tersebut yang sudah diguna pakai genap sedekad lalu, sebenarnya bertujuan untuk memberikan nafas baharu dalam imej sukan bola sepak di negeri itu sendiri.

Menurut usahawan wanita terkenal di Kelantan itu, buat masa ini beliau sedang membuat pertimbangan untuk memberikan nama baharu kepada pasukan negeri Pantai Timur tersebut menjelang perlawanan liga akan datang.

“Saya berhasrat menggunakan nama yang mempunyai hubung kait dengan nama negeri ini. Saya yakin dan percaya nama baharu ini mampu memperkasakan lagi pasukan Kelantan untuk mengharungi saingan liga,” katanya.

Bibi Ramjani ketika dihubungi sebuah akhbar tempatan di sini hari ini menjelaskan bahawa penggunaan gelaran baharu itu sekali gus akan memberi imej yang berbeza untuk skuad berkenaan pada Liga Malaysia 2018 nanti.

Nama TRW mula digunakan setelah Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh mengambil alih tampuk pemerintahan Kafa pada 2007 lalu bagi memberikan ‘nafas baharu’ kepada pasukan Kelantan yang lesu ketika itu.

Sebelum ini, skuad Kelantan hanya menggunakan rujukan nama Kijang Emas sebagai gelaran kepada pasukan berkenaan berdasarkan kepada lambang haiwan itu yang memang terdapat pada jata rasmi negeri tersebut sendiri.

Bibi Ramjani yang baharu menerajui Kafa selepas menang jawatan itu dalam Kongres Tahunan di Kota Bharu pada Ahad lalu memberitahu, beliau berharap penyokong dapat memberikan sokongan penuh terhadap hasrat tersebut.

Apa dilakukan itu ujarnya bertujuan untuk melonjakkan lagi pasukan pada masa akan datang. Dalam perkembangan lain, beliau melakukan kunjungan menghadap ke atas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di sini.

Pertemuan hormat terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu demi mendapatkan pandangan dan nasihat dalam memperkasakan pentadbiran Kafa sebagai ahli gabungan kepada badan induk kebangsaan tersebut.

Kunjungan itu turut disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers kira-kira 3.17 petang Rabu malah menerima reaksi positif netizen apabila mendapat lebih 18,000 tanda suka dan hampir 600 perkongsian.

Kafa ujar Bibi Ramjani, sedia memberikan kerjasama penuh kepada FAM. Pada sebelah malamnya, beliau turut menyaksikan perlawanan Liga Super 2017 antara TRW menentang JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini.

Perlawanan berkenaan menyaksikan pasukan tuan rumah menang selesa 3-0 hasil jaringan S. Kunalan pada minit ke-19, diikuti Gonzalo Cabrera (minit ke-36) dan Safiq Rahim (minit ke-55). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...