loading...

Mawi Penyampai Stesen Baru Astro #IndahdiHati

BARU-BARU ini Astro Radio menganjurkan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat dengan meraikan sekumpulan kanak-kanak dari Pusat Jagaan Nuri, Setapak di ibu negara sempena tarikh Maal Hijrah 1 Muharam 1439.

Pada majlis itu, gergasi rangkaian penyiaran tempatan tersebut berkongsi berita baik dengan pihak media apabila umum bakal melancarkan sebuah lagi stesen radio baharu menyinari ruang angkasa tanah air mulai 2 Oktober ini.

Untuk rekod, kali terakhir pendengar dapat mengikuti pelancaran stesen baharu ialah Kool FM (sebelum itu Ultra FM) di bawah Media Prima Berhad yang mula ke udara pada 1 Mac 2016 dengan tagline ‘Temanmu Muzikmu’.

Namun berbeza tradisi sembilan saluran radio teresterial Astro yang sedia ada sarat sebagai platform hiburan dan informasi, stesen terkini dikenali sebagai #IndahdiHati itu pula menawarkan alternatif agak sedikit berbeza.

Ia dikatakan mengambil konsep penyiaran dakwah Islamiah yang berjaya dipopularkan oleh stesen IKIM.fm milik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Salam FM di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Baca: Betul Ke Astro Bakal Lancar Radio Dakwah Islamiah?

#IndahdiHati bagaimanapun lebih mementingkan pengisian segar khusus untuk golongan Muslim yang bersifat kontemporari dengan menghidangkan pelbagai kandungan unik dan berteraskan nilai semasa Islam progresif.

Justeru stesen terbaharu Astro Radio ini menyasarkan segmen pendengar berusia antara 18 tahun hingga 34 tahun yang bertumpu kepada pelajar dan dewasa berkerjaya aktif meneroka dunia serta berkongsi pengalaman.

Ini termasuk fesyen, teknologi, hiburan, pendidikan dan gaya hidup berlandaskan model cara positif kehidupan Muslim sebenar. Pendek kata isi kandungannya bukan sekadar program tazkirah atau lagu nasyid yang tipikal.

Bahkan paling penting ialah aspek pemilihan muzik yang ditawarkan stesen termuda ini adalah merangkumi pelbagai lagu tempatan dan antarabangsa terbaik dengan berunsurkan mesej ketuhanan dan nilai murni.

Astro Radio (dahulu dikenali sebagai AMP Radio Networks) ketika ini memiliki sembilan saluran termasuk tiga berbahasa Melayu iaitu Era FM dan Sinar FM, manakala THR Gegar terhad liputannya di wilayah Pantai Timur.

Sementara baki lain ialah tiga berbahasa Inggeris (Mix FM, Hitz FM dan Lite FM), selain dua berbahasa Cina (MY FM dan Melody FM), serta satu berbahasa Tamil (THR Raaga) yang liputannya hanya sekitar Pantai Barat.

Lebih unik, #IndahdiHati menampilkan barisan personaliti radio yang bertenaga, peramah, ceria dan memiliki prinsip tersendiri antaranya penyanyi terkenal Asmawi Ani atau Mawi yang juga semakin dikenali sebagai pelakon.

Siaran #IndahdiHati boleh diikuti dengan jelas secara format RDS menerusi gelombang FM Stereo 104.9 Mhz (Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang Barat) dan 98.1 Mhz (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Utara).

Juga melalui frekuensi 106.4 Mhz (Perak Selatan), 91.6 Mhz (Pahang Timur, Terengganu Selatan), 98.9 Mhz (Melaka, Johor Utara) dan 92.8 Mhz (Johor Selatan, Singapura, Batam). – Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...