loading...

MAS Sahkan Tempahan 25 Pesawat Boeing 737

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines mengesahkan syarikat telah memuktamadkan tempahan 25 pesawat Boeing 737 dengan pilihan untuk menambah pesawat mengikut kesesuaian persekitaran operasinya.

Syarikat penerbangan nasional itu berkata ia akan terus menilai dengan teliti semua pilihan yang ada untuk memastikan pembelian bersesuaian dengan perniagaan dan operasi.

“Ini perlu dan selaras dengan langkah pengurusan kumpulan pesawat yang berhemat dan usaha pengawalan kos di seluruh kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu berkata demikian sebagai respons kepada laporan media dan kenyataan mengenai pelan bagi kumpulan pesawatnya, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Boeing baru-baru ini.

MoU baru-baru ini tersebut bagi potensi menambah lapan pesawat dua lorong Dreamliner Boeing 787-9 dalam kumpulan pesawat syarikat mulai suku ketiga 2019 bagi meningkatkan keupayaan kumpulan pesawat dua lorong syarikat penerbangan itu dan memberikan kualiti yang tinggi pada laluan paling menguntungkannya.

Pembiayaan bagi semua pesawat itu telah dirancang mengikut pajakan semula operasi dan jual atau pajakan operasi, katanya.

Malaysia Airlines kini mempunyai 54 pesawat 737-800 dengan 48 beroperasi manakala enam pesawat diserahkan semula kepada pemajak pada Disember 2017 dan kini sedang menjalani program penyelenggaraan pulangan pajakan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...