loading...

‘Lawan’ Berita Palsu Dengan Kebenaran – PM

KUALA LUMPUR – Wartawan mempunyai tanggungjawab untuk membanteras gejala penyebaran berita palsu, terutama sekali di dalam portal web, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kata Najib lagi, ianya penting bagi wartawan untuk proaktif dalam menangani penyebaran berita palsu oleh kerana ianya mudah mempengaruhi masyarakat, khususnya golongan belia.

“Kebanyakan berita palsu ini direka-reka untuk mencetuskan kekeliruan dan kebencian di kalangan masyarakat.

“Adakalanya, kenyataan kami diputar belitkan, termasuklah daripada saya, hanya untuk mengelirukan rakyat,” katanya dalam ucapan beliau semasa majlis minum petang anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia, lewat petang tadi.

Turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

PM mengambil contoh isu baru-baru ini semasa lawatan rasminya ke Washington D.C. untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, telah diputar belitkan.

Meskipun segelintir portal berita mendakwa kenyataannya untuk “membantu mengukuhkan ekonomi AS” diambil sebagai sesuatu yang negatif, namun katanya beliau mempunyai alasan tersendiri mengapa beliau mengatakan begitu.

“Secara harfiahnya, saya mahu menegaskan bahawa Malaysia tidaklah ‘menunduk’ kepada negara yang berkuasa dan bahawa kita juga mampu menjadi pesaing yang penting di peringkat global.

“Berkenaan pembelian Boeing pula, pihak pembangkang telah mengkritik teruk tentang perkara itu namun Malaysia Airlines Bhd hanya mahu membeli 8 buah pesawat Dreamliner.

“Saya baru terdengar ura-ura Turkish Airlines membeli 40 buah Dreamliner. Pesawat itu merupakan salah satu pesawat yang paling canggih di dalam kelasnya, tetapi pembangkang mahu ‘serang’ saya kerananya,” tambah Najib lagi.

Dalam isu berita palsu, Najib menyeru agar pihak media menyiarkan berita yang benar terutama sekali terhadap polisi dan keputusan yang dilakukan kerajaan dalam membantu rakyat.

“Saya mahu semua orang tahu apakah maksud tersirat di sebalik semua rancangan kerajaan.

“Wartawan telah membantu negara ini maju dan membangun sejak berdekad lamanya. Saya amat berterima kasih kepada usaha anda dan saya tahu sudah pasti semua wartawan wanita di Malaysia sangat kuat,” kata Najib lagi. – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Previous
Next Post »
loading...