loading...

Kastam Singapura Pandang Berat Aktiviti Seludup Rokok

SINGAPURA – Pihak Kastam Singapura memberi amaran undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu yang terpengaruh dengan tawaran lumayan menerusi laman web atau media sosial untuk membawa masuk rokok tanpa duti kastam ke dalam negara itu.

“Kami dapati lebih ramai orang yang menjadi mangsa iklan atas talian yang mahukan khidmat pemandu kereta untuk membawa rokok tanpa duti kastam menyeberang sempadan.

“Tawaran kerja itu kelihatan lumayan, namun mereka sering membuat janji palsu bagi bayaran yang akan menyebabkan kamu terpaksa membayar ‘harga mahal’ apabila ditangkap,” kata Pembantu Ketua Pengarah (Risikan dan Siasatan) Kastam Singapura, Yeo Sew Meng dalam kenyataan media.

Seramai 11 pemandu telah dipenjara kerana aktiviti demikian daripada Januari hingga pertengahan September 2017 yang telah dihukum penjara antara empat dan lapan bulan, sementara empat lagi pemandu yang ditahan pada Julai lalu sedang melalui prosiding mahkamah.

Kastam Singapura berkata terdapat satu kes yang melibatkan dua wanita Malaysia yang berumur 31 tahun dan 20 tahun yang masing-masing di dihukum penjara enam bulan dan 22 minggu Ogos lalu.

Siasatan mendapati mereka menerima tawaran itu menerusi Facebook untuk menyeludup rokok daripada Malaysia ke Singapura dengan dijanjikan bayaran S$420 (S$1=RM3.10) bagi setiap hantaran yang berjaya dilakukan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...