loading...

Bomba Periksa 50 % Sekolah Agama, Pondok & Tahfiz

BUKIT MERTAJAM – Hampir 50 peratus daripada 349 bangunan sekolah agama termasuk pondok dan tahfiz di Pulau Pinang telah diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri sehingga hari ini.

Ketua Cawangan Program Kesedaran dan Keselamatan Awam, Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Pulau Pinang Mohd Syafiq Mohd Jamil berkata berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya mendapati terdapat beberapa aspek keselamatan perlu diberi perhatian oleh pengurusan sekolah agama, pondok dan tahfiz berkenaan.

Katanya aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian adalah mengenai sistem kebombaan yang berada di sekolah antaranya laluan kecemasan, alat pemadam api dan jarak pili bomba.

“Hasil pemeriksaan, kami mendapati separuh daripada 50 peratus yang diperiksa iaitu membabitkan sekolah agama, pondok dan tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang diduduki berada dalam keadaan selamat.

“Namun ada beberapa aspek sistem kebombaan perlu lebih diteliti kerana ada sesetengah sekolah pemadam apinya ditempatkan di lokasi tidak sesuai dan pili bombanya kurang serta terletak jauh manakala laluan kecemasan pula terhad,” katanya ketika pemberita selepas membuat pemeriksaan bangunan di Sekolah Menengah Agama Ibrah, Tanjung Putus, di sini hari ini.

Mohd Syafiq berkata pihak pengurusan sekolah terlibat perlu menambah baik beberapa aspek kebombaan yang telah dikenal pasti itu supaya kejadian tidak diingini seperti tragedi mengorbankan 23 nyawa di Pusat Tahfiz dekat Datuk Keramat, Kuala Lumpur tidak berulang.

Katanya pihak bomba juga mengalu-alukan penubuhan pasukan skuad bomba di seluruh sekolah agama, pondok dan tahfiz bagi membolehkan pelajar serta guru dilengkapi dengan ilmu untuk membantu sekiranya berlaku kebakaran.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat 20 sekolah agama termasuk pondok dan tahfiz di Pulau Pinang menubuhkan skuad bomba dan telah menjalani latihan serta kursus asas menangani kebakaran yang dianjurkan pihak bomba.

“Kami berharap lebih banyak sekolah agama, pondok dan tahfiz dapat menubuhkan skuad bomba di sekolah mereka sebagai satu inisiatif yang boleh diambil apabila berada dalam situasi kebakaran lagipun sebelum ini banyak kes kebakaran dilaporkan berlaku membabitkan sekolah-sekolah berkenaan,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...